KUALA LUMPUR: Isu jangkitan COVID-19 tidak boleh dan tidak patut dijadikan alasan untuk menutup atau menangguh Mesyuarat Khas Parlimen yang dijadual sambung bersidang pada Isnin ini. 

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan berkata berdasarkan laporan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kadar positif di Parlimen adalah 0.9 peratus, manakala nilai ambang yang disaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi menentukan jumlah ujian saringan yang mencukupi ialah lima peratus.

Justeru majlis itu berpandangan, tidak ada jumlah kes positif COVID-19 yang signifikan di Parlimen sepanjang minggu lalu.

“Majlis Presiden menggesa semua pihak termasuk pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan untuk tidak bersekongkol dengan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk melakukan helah untuk sengaja menutup sidang Parlimen pada Isnin ini.

“Jika Parlimen ditutup dengan hanya dengan kadar kurang daripada 1 peratus, Parlimen berkemungkinan besar tidak akan bersidang lagi kerana hakikatnya COVID-19 akan terus berada di dalam masyarakat (endemic) bukan hanya di Malaysia, malah di seluruh dunia,” memetik kenyataan itu pada Sabtu. 

BACA: Mesyuarat Khas Parlimen pada Isnin ditangguhkan



[TERKINI] Sidang Media Ketua Pembangkang

Kenyataan itu ditandatangani oleh tiga pemimpin utama PH iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. 
BACA LAPOR LANGSUNG SIDANG KHAS PARLIMEN DI SINI 


Majlis Presiden PH pada masa sama memberi amaran kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tidak memperalat agensi dan kementerian-kementerian, termasuk Dr Noor Hisham untuk menutup Parlimen pada Isnin ini.


Ketua Pembangkang mohon tambah hari Mesyuarat Khas Dewan Rakyat

“Ketua Pengarah Kesihatan juga diingatkan agar tidak membenarkan diri beliau diperalat demi menutup Parlimen dan menghalang sidang khas seperti yang dititah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
SISI TV ASTRO AWANI DI SINI


“Walau apapun yang berlaku, Ahli-Ahli Parlimen tidak boleh dihalang dari hadir ke Parlimen pada hari Isnin ini untuk melaksana tugas dan tanggungjawab kami kepada rakyat dan negara, serta melaksana sumpah yang telah kami angkat iaitu untuk memelihara, melindungi serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan,” memetik kenyataan itu.

Pada masa sama, Majlis Presiden PH turut berpandangan bahawa Muhyiddin wajib mendengar suara rakyat yang mahu titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dijunjung dengan membahas dan memutuskan Ordinan-Ordinan Darurat di Parlimen pada Isnin ini.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham memaklumkan bahawa 1,183 orang telah disaring di mana 11 didapati positif COVID-19.