PENGUATKUASAAN perintah darurat yang diuar-uarkan dalam media adalah antara cadangan yang dikemukakan oleh  kerajaan Perikatan Nasional (PN)  yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai satu tindakan proaktif untuk menangani bencana sosiopolitik yang melanda negara pada ketika ini.

Menurut pakar perlembagaan persekutuan, jemaah menteri atau Perdana Menteri yang dilantik oleh Agong bersandarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan boleh memberi pandangan terhadap pengurusan dan pentadbiran  negara kepada pertimbangan YDPA bersandarkan Perkara 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.
 
Namun, ada pihak tertentu yang mengaitkan cadangan kerajaan tersebut itu akan melumpuhkan kebebasan institusi Parlimen.

Malah, ada yang mengecam Perdana Menteri sebagai diktator kerana menganggap cadangan tersebut hanyalah untuk menyelamatkan jawatannya atas dakwaan kehilangan majoriti dalam Parlimen sebelum ini.

Dalam pada itu, timbul juga isu kononnya darurat yang dicadangkan oleh kerajaan PN adalah semata-mata untuk mengelakkan sidang Parlimen yang akan membahas dan membuat penetapan terhadap Belanjawan 2021.


Sokongan Majoriti

Perdana Menteri didakwa cuba mengelakkan pembentangan belanjawan kerana bimbang ia tidak akan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk diluluskan.
  
Dalam isu ini, rakyat  perlu sedar bahawa dakwaan kononnya Belanjawan 2021 tidak akan mendapat majoriti adalah satu andaian semata-mata yang disebarkan oleh sesetengah pihak atas kepentingan politik mereka semata-mata.

Rakyat perlu melihat gambaran menyeluruh tentang Belanjawan 2021 dengan menjawab beberapa persoalan yang timbul sebelum membuat satu kesimpulan.

Adakah Belanjawan 2021 yang disediakan dengan memberikan penekanan terhadap program-program dan bantuan prihatin kepada rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 tidak akan mendapat sokongan daripada wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat untuk membela kebajikan dan kepentingan mereka?

Perlu diketahui bahawa ada sebahagian wakil rakyat yang duduk di sebelah barisan pembangkang seperti DAP, PKR, Amanah dan lain-lain juga akan menyokong Belanjawan 2021 demi kepentingan rakyat jelata.

Apapun, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku ketua negara telah menghalusi dan meneliti cadangan-cadangan kerajaan Muhyiddin dan didapati tidak perlu untuk menguatkuasakan perintah darurat pada masa sekarang.



Al-Sultan Abdullah menggesa ahli-ahli politik mengurangkan politiking dan menumpukan perhatian kepada usaha-usaha mencegah pandemik COVID-19.

Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan perasaan puas hati terhadap usaha-usaha yang dijalankan oleh kerajaan Muhyiddin dalam mengawal penularan COVID-19  dalam negara dan menyeru rakyat, termasuk ahli-ahli politik mengetepikan perbezaan fahaman politik antara mereka, bersatu dan berpakat bersama kerajaan  dalam mencegah pandemik dalam negara.

Jika dilihat terhadap pemikiran rakyat secara keseluruhannya pada ketika ini, mereka menyambut baik keputusan yang dibuat Al-Sultan Abdullah malah mereka berharap ahli-ahli politik menumpukan perhatian yang lebih terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat marhaen dan bukannya bermain politik semata-mata untuk kepentingan mereka.

Apatah lagi, prestasi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri didapati amat memberangsangkan dalam soal  menguruskan pandemik COVID-19 dengan pelaksanaan program PRIHATIN dan Pakej Rangsangan Ekonomi.

Usaha-usaha beliau antara yang terbaik dalam sejarah penyediaan rangsangan ekonomi dan bantuan kepada rakyat.
 
Rakyat tanpa mengira kefahaman politik menyambut baik dan menjunjung  kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah dalam membuat keputusan yang selaras dengan aspirasi rakyat.

Malah keputusan baginda melegakan kegusaran yang timbul dalam sebahagian besar rakyat.
 
Tuntasnya, rakyat khasnya ahli-ahli politik harus patuh dengan titah Al-Sultan Abdullah dalam menyokong segala usaha kerajaan dalam mendepani cabaran era pasca COVID-19 dan mengelakkan permainan politik yang berkepentingan atau seseorang individu demi kepentingan rakyat keseluruhannya.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk menjunjungi titah dan hasrat murni Al-Sultan Abdullah yang kita sayangi dan dimuliakan.



* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.