Polis menahan tiga individu lagi untuk membantu siasatan berhubung insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, di Subang Jaya minggu lalu, menjadikan jumlah tangkapan keseluruhannya meningkat kepada 102 orang.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata tangkapan terbaharu itu dilakukan di sekitar negeri ini bermula malam semalam sehingga pukul 8 pagi ini.

"Dengan tangkapan ini, seramai 102 individu telah ditahan, merangkumi 49 lelaki Melayu, 44 lelaki India, seorang lelaki Cina dan lapan lelaki India Muslim," katanya pada satu sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidul Rasul di sini hari ini.

Insiden rusuhan pada 26 Nov itu berkaitan dengan unsur jenayah, menyebabkan kecederaan parah kepada seorang anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang kini dirawat di Institut Jantung Negara, selain kemusnahan 23 kenderaan yang dibakar perusuh, kerosakan sebuah bangunan serta gangguan kepada ketenteraman awam.

Ditanya sama ada polis akan mengambil keterangan Muhammad Adib, Mazlan berkata pihaknya sedang menunggu kebenaran daripada IJN.

"Buat masa ini biar dia selesaikan rawatannya di hospital terlebih dahulu," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan siasatan polis ke atas Exco Selangor V. Ganabatirau berhubung kenyataannya mengenai insiden itu, Mazlan berkata kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat.

"Rakaman percakapan dia telah kami ambil, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu Mazlan turut memberitahu bahawa dua kakitangan syarikat pemaju yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan bon pada 4.45 petang semalam.

"Jamin dibenarkan oleh Majistret dengan bon di bawah Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah sebanyak RM10,000, tanpa cagaran dan kedua-dua tertuduh akan hadir semula ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 12 Dis ini untuk keputusan selanjutnya," katanya.