KUALA LUMPUR: Seramai 81,706 individu ditahan melibatkan 69,648 kes di bawah pelbagai seksyen kesalahan jenayah narkotik bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, jumlah itu mencatatkan peningkatan berbanding 66,889 tangkapan dan 55,560 kes pada tahun lepas.

Kesemua kes tersebut melibatkan Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

"Pada 2022, sebanyak 10,464.20 Kilogram (kg) pelbagai jenis dadah, 2,394.91 liter pelbagai cecair dadah, 69,132.69kg daun ketum dan 44,809.30 liter air ketum dirampas. Keseluruhan rampasan bernilai RM262,355,571.95.

"Jumlah itu menurun berbanding 2021 iaitu sebanyak 15,397kg pelbagai jenis dadah, 5,342.63 liter pelbagai jenis cecair dadah, 148,407.57kg daun ketum dan 54,267.57 liter air ketum dengan nilai rampasan RM683,371,047.59," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Noorsiah berkata, PDRM turut membongkar enam makmal haram memproses dadah dengan tangkapan seramai 18 orang pada 2022 berbanding 10 makmal dengan tangkapan 51 orang pada awal 2021.

"Selain itu, seramai 997 orang ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, berbanding pada 2021 iaitu sebanyak 575 orang, untuk tempoh sama.

"Manakala di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1998, pelbagai aset sindiket bernilai RM79.251 juta disita dan daripada jumlah itu aset bernilai RM9.063 juta berjaya dilucut hak.

"Untuk tempoh sama bagi 2021, PDRM berjaya menyita pelbagai aset yang dianggarkan bernilai RM87.691 juta dan daripada jumlah itu aset bernilai RM8.638 juta berjaya dilucut hak," ujarnya.

Noorsiah menegaskan, PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

Justeru, PDRM berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka melalui talian JSJN 012-2087222.