IPOH: Polis Perak menjalankan siasatan terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan berhubung penangkapan seorang lelaki pada Jumaat.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kenyataan itu dikesan hari ini di laman sosial Facebook milik Jeyakumar Devaraj PSM bertajuk ‘bebaskan Tan Tean Chee dengan segera’.

Menurutnya, ia timbul ekoran tular penangkapan seorang individu yang disyaki menghalang sepasukan pegawai daripada beberapa agensi kerajaan untuk menjalankan kerja-kerja kajian tanah (soil investigation) berhampiran Kawasan Perindustrian Kanthan, Chemor.

Katanya, lelaki itu yang ditahan bagi menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 186 dan 341 Kanun Keseksaan dibebaskan dengan jaminan polis pada awal pagi Sabtu, setelah prosedur siasatan selesai.

Bagaimanapun, katanya, kandungan kenyataan di dalam Facebook yang dikesan hari ini didapati berniat jahat dan memutarbelitkan fakta sebenar mengenai kejadian tersebut, kononnya agensi kerajaan dibantu oleh pihak polis cuba menceroboh masuk ke tanah tersebut.

“Dengan ini PDRM Perak menafikan bahawa terdapat unsur cubaan menceroboh oleh agensi-agensi kerajaan dengan bantuan pihak polis dalam kejadian ini.

“Kenyataan itu kelihatan sengaja dikeluarkan dengan niat hendak mengapikan atau menghasut sentimen orang awam terhadap kredibiliti agensi-agensi kerajaan terbabit, khususnya PDRM,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Mior Faridalathrash, satu laporan polis telah diterima hari ini terhadap pihak-pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan komen-komen tidak benar atau tuduhan tidak berasas terhadap mana-mana pihak, melalui media sosial kerana ia adalah tindakan yang amat tidak bertanggungjawab dan menyalahi undang-undang.

“Pihak polis akan lebih tegas pada masa akan datang dalam mengendali kes-kes kenyataan yang mendatangkan khianat awam sebegini demi memelihara keamanan dan ketenteraman awam,” tegasnya.