KUALA LUMPUR: 30 Mac tempoh hari, dikuatkuasakan Peraturan Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) 2021 yang mewajibkan setiap pengguna tangki septik atau kumbahan menjalankan kerja nyahenap cemar setiap dua tahun.

Kerja-kerja nyahenap cemar itu akan dibuat oleh Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. dan notis penjadualan pelaksanaan kerja-kerja itu akan mula dikeluarkan kepada pengguna bermula Julai nanti.

“Ketika ini pihak IWK sedang membuat persediaan untuk mengeluarkan notis kepada 1.3 juta pengguna di seluruh negara yang merangkumi empat kategori iaitu premis kerajaan, komersial, industri dan domestik, paling banyak iaitu sekitar 1.06 juta.

“Sekiranya pengguna terlibat tidak dapat mengikut jadual kerja yang telah ditetapkan, mereka boleh menghubungi IWK untuk mengatur semula ke tarikh lain yang sesuai,” maklum Ketua Unit Perniagaan Nyah Enap Cemar IWK, Pauzi Mohamed.

Bagi tujuan itu kata Pauzi, pengguna diperlukan untuk membayar sedikit caj yang ditetapkan - kategori rumah kos rendah harganya RM48, kategori kampung baharu yang menggunakan tangki standard RM72 dan rumah biasa RM144.


Agenda AWANI: Kosongkan tangki septik berjadual demi kelestarian alam sekitar

Bagi premis kerajaan pula, cajnya berdasarkan caj asas dicampur kadar penggunaan air, manakala untuk industri pula RM2 setiap individu. Pembayarannya dibuat sekali setiap dua tahun.

Namun tawaran istimewa diberikan kepada para pengguna komersial, setelah IWK mengambil kita faktor pandemik yang telah menjejaskan banyak perniagaan sejak lebih setahun lepas.

“Kita buat tawaran harga rendah dari RM384 sehingga maksimum RM768 mengikut saiz tangki.

“Keutamaan diberi kepada pembayaran secara tunai, manakala pilihan pembayaran secara atas talian mengikut bil bulanan adalah mengikut tarif sedia ada,” jelas Pauzi.

Usah abai penyelenggaraan

Sementara itu kata Pengarah Kanan, Bahagian Operasi Wilayah, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Mohd Jalaluddin Sulaiman, penguatkuasaan undang-undang baharu ini adalah untuk memastikan setiap pengguna tidak mengabaikan penyelenggaraan tangki septik yang digunakan setiap hari.

Menurut Kementerian Sumber Asli dan Air, sekitar 90 peratus pengguna tidak menjalankan kerja nyahenap cemar, dan ketidakpedulian ini sekiranya berlanjutan dikhuatiri menyumbang kepada pencemaran air yang seterusnya membawa pelbagai jenis penyakit seperti taun, hepatitis dan sebagainya.

“Mengikut peraturan tersebut, kita akan keluarkan notis sebanyak dua kali kepada pengguna untuk tindakan dan tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya tiada maklum balas daripada mereka,” maklum Jalaluddin.

Pemilik premis yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan peraturan itu boleh IWK di talian 03-2780 1100 atau muat turun aplikasi mudah alih IWK di Google Playstore atau Apple App Store atau layari laman web rasmi di www.iwk.com.my.

Tonton sesi temu bual penuh dengan Pauzi dan Jalaluddin dalam Agenda AWANI bersama hos, Fauzi Zin, di sini.

Foto Indah Water Konsortium