ALOR SETAR: Menyedari peningkatan kos sara hidup yang semakin menghimpit, sepasang suami isteri di Simpang Empat, Alor Setar bertekad berusaha sebaik mungkin untuk menyediakan makanan percuma kepada golongan memerlukan.

Jaffri Ahmad, 60, dan isterinya, Mazlina Makaruddin, 57, mengambil inisiatif membuka 'Rumah Makan Percuma' (RMP) untuk memberi makanan percuma kepada sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa, agama dan status.

Menurut Jaffri, yang juga Presiden Bismi Empire, mereka telah membuka RMP sejak empat tahun lalu sebaik pulang daripada menunaikan umrah selepas melihat masyarakat di Makkah berlumba-lumba memberi makanan percuma terutama ketika Ramadan.

Katanya, keazaman itu semakin menebal susulan negara ketika itu dilanda pandemik COVID-19 yang mengakibatkan ramai rakyat terkesan.

“Setelah saya, isteri dan keluarga berbincang, kami semua setujulah untuk kami tubuhkan RMP percuma ini. Dari situ kita rancang macam mana kita nak wujudkan rumah makan percuma ini.

“Tempat pun dah ada, kebetulan bahan makan yang akan kami sediakan, boleh diperoleh daripada syarikat kami yang memang terlibat dalam perniagaan ayam... dan ayam ini kami gunakan untuk RMP,” katanya kepada Astro AWANI.

RMP dibuka sejak empat tahun lalu dan memberi manfaat kepada ramai golongan memerlukan.

Menurut Mazlina, pada permulaan mereka menyediakan makanan untuk 550 orang setiap hari.

“Pada awalnya macam-macam terlintas di fikiran... siapa yang nak datang makan? Berdebar-debar juga menunggu hari pertama bila kami lancar RMP. Tak ada gunanya kami buat persediaan... buat menu istimewa untuk memberi makan kalau tak ada orang yang nak datang makan.

“Tetapi alhamdulillah, pada hari pertama pembukaannya, makanan semua habis,” katanya.

Beliau berkata rumah makan percuma itu beroperasi bermula 12 tengah hari hingga 1.30 petang setiap hari dan pada bulan Ramadan, makanan dalam pek diedarkan bermula jam 5 hingga 7 petang.

Sementara itu bagi golongan yang menikmati makanan percuma itu, mereka menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pasangan suami isteri itu yang disifatkan pemurah.

Rata-rata mereka ditemui datang bersama keluarga dan ada juga yang datang bersendirian terdiri daripada pelbagai lapisan usia dan bangsa.

Bagi Halimah Ismail, 58, katanya makanan percuma itu dapat menjimatkan kos perbelanjaan harian.

“Alhamdulillah, mereka bagi orang makan tak kira bangsa... semua makan di sini... kira alhamdulillah rezeki dia melimpah ruah. Pada mulanya, beberapa orang sahaja yang datang makan, tapi kini ramai yang datang.

“Alhamdulillah kita pun tumpang seronok bila datang, bercampur dengan orang lain yang mendapatkan bantuan makanan di sini," katanya.