NIBONG TEBAL: Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung di Nibong Tebal, Pulau Pinang diisytiharkan sebagai kawasan bencana tahap satu selepas berlaku pencemaran udara serius.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Superintendan Lee Chong Chern berkata pengisytiharan dibuat berikutan kawasan seluas 6.5 hektar terbakar selama lapan hari.

Bagaimanapun pihaknya dimaklumkan usaha pemadaman api menunjukkan perkembangan positif apabila kebakaran dikawal sehingga 65 peratus pada hari ini.

 "Kita di Seberang Perai Selatan sudah diisytiharkan bencana tahap satu kerana asap kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung. Ini pengisytiharan bukan diwartakan cuma declare bukan gazetted. Maka kawasan yang  diisytiharkan ialah di tapak pelupusan sampah. Itulah saja tempat yang diisytiharkan sebagai kawasan bencana," katanya.

Chong Chern berkata, hanya kawasan yang terbakar di tapak pelupusan sampah sahaja diisytihar manakala kawasan berhampiran yang mengalami pencemaran udara tidak diisytihar sebagai kawasan bencana.

"Api sebenar di permukaan itu sudah dipadam cuma bila berlaku ini api di bahagian bawah tu bara tu masih ada. Jadi itulah asap tu akan keluar. Bukan kata api di permukaan tu masih ada tetapi di bahagian bawah masih ada dan ini akan ambil masa sedikit untuk diselesaikan sepenuhnya," katanya lagi.

Bagaimanapun katanya, 400 penduduk dari Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru tetap diminta mengosongkan kediaman masing-masing atas faktor kesihatan.

Setakat ini, hanya 45 penduduk telah ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS), manakala bakinya telah berpindah ke rumah ahli keluarga.

 Dalam pada itu, pihak polis memberi jaminan bahawa rumah dan harta-benda penduduk yang berpindah akan dikawal pihak polis dan anggota Rela sehingga mereka kembali.

Setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan kecurian harta benda penduduk yang dipindahkan ke PPS .

Chong Chern berkata demikian pada sidang media perkembangan kes kebakaran tapak pelupusan sampah di Jawi, Nibong Tebal pada Rabu.

Rabu minggu lepas , 6.5 hektar kawasan tapak pelupusan sampah yang berkeluasan 16.2 hektar itu terbakar dan masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya hingga hari ini

Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang memantau kualiti udara dan mengesan kandungan gas yang boleh memberi risiko kesihatan.

Berikutan itu, dua PPS dibuka bagi memindahkan penduduk Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru  sehingga keadaan pulih.

Dalam pada itu, sebanyak 10 buah sekolah berdekatan turut diarahkan ditutup selama tiga hari bermula hari ini.