BATU GAJAH: Pengusaha tapak pemprosesan bangkai haiwan secara haram di Kampung Baru Chenderong dekat sini diarah menghentikan operasi serta-merta ekoran menganggu keselesaan kira-kira 2,000 penduduk di kawasan itu sejak lima tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak Mohd Azlan Helmi berkata pengusaha itu dipercayai menyewa kawasan seluas 0.4 hektar daripada sebuah syarikat perumahan dan dipercayai bangkai haiwan yang diproses dijadikan makanan ikan serta baja pertanian.

"Menurut sumber beberapa agensi yang bersama kita pada hari ini, pemilik tanah iaitu syarikat perumahan telah menyalahgunakan tanah itu dengan menjadikannya sebagai tempat pemprosesan bangkai haiwan seperti ayam, itik dan sebagainya.

"Kita juga ingin maklumkan bahawa tiada lesen dikeluarkan oleh mana-mana agensi berkaitan untuk sebarang aktiviti pemprosesan bangkai haiwan," katanya ketika ditemui selepas lawatan ke tempat pemprosesan bangkai haiwan itu di Kampung Baru Chenderong dekat sini hari ini.

Mohd Azlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah berkata kompaun berjumlah RM1,500 telah dikeluarkan oleh Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) pada awal Mei lepas kepada pengusaha itu atas kesalahan menjalankan aktiviti berkenaan secara haram.

"Mereka ada menghentikan operasi sementara selepas tindakan dilakukan namun selepas isu ini reda, pengusaha kembali menjalankan aktiviti berkenaan seperti biasa," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pihaknya akan mengarahkan jabatan dan agensi terlibat untuk bertemu dengan pemilik tanah bagi menyelesaikan isu yang timbul.

"Kita akan panggil syarikat tuan tanah ini ke meja rundingan untuk beri peringatan kepada mereka. Ini kerana kacau ganggu yang terlalu kuat terutama bau kepada masyarakat sekitar," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Chenderong Hoo Kit Yin, 50, berharap satu tindakan tegas dapat dilakukan oleh pihak berwajib bagi memastikan pengoperasian haram di tempat itu dihentikan.

"Sebelum ini, kami sendiri telah menasihatkan pengusaha tempat itu untuk menghentikan operasi tetapi mereka tetap berdegil. Boleh dikatakan setiap hari penduduk terpaksa hidu bau busuk terutama pada waktu malam.

"Selain bau, lalat juga banyak di kawasan ini. Saya harap dengan lawatan ini masalah akan dapat diselesaikan," katanya.

-- BERNAMA