MALAYSIA
Tarif baharu elektrik: Apa yang perlu diketahui pengguna mulai 1 Julai 2025

Struktur tarif elektrik baharu untuk semua kategori pengguna di Semenanjung Malaysia bagi menjadikan bil lebih jelas, adil dan mencerminkan keadaan pasaran sebenar. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tenaga telah mengemas kini struktur tarif elektrik bagi semua kategori pengguna di Semenanjung Malaysia yang memberikan penjelasan yang lebih jelas mengenai kadar caj berdasarkan jenis penggunaan, merangkumi pengguna domestik, komersial, perindustrian, serta sektor pertanian dan bekalan sementara.
Ringkasan AI
- TNB memperkenalkan struktur tarif elektrik baharu mulai 1 Julai 2025 yang lebih jelas dan adil, dengan pengelasan mengikut kategori pengguna dan tahap voltan.
- Kadar tarif berbeza mengikut kategori seperti domestik, perdagangan, perindustrian, pertanian dan bekalan sementara, dengan caj permintaan dan caj minimum tertentu.
- Pengguna boleh menyemak dan membayar bil melalui aplikasi myTNB, serta digalakkan untuk lebih bijak dalam penggunaan tenaga selaras dengan usaha kecekapan dan kemampanan.
1. Pengguna domestik atau kediaman (rumah teres, apartmen, flat dan kondominium yang digunakan sepenuhnya untuk tujuan kediaman)
Struktur tarif kekal menggunakan sistem blok bertingkat berdasarkan kadar penggunaan bulanan.
Pengguna yang menggunakan antara satu hingga 200 kilowatt-jam (kWj) dikenakan kadar sebanyak 21.80 sen bagi setiap kWj.
Penggunaan antara 201 hingga 300 kWj dikenakan kadar 33.40 sen/kWj, manakala penggunaan 301 hingga 600 kWj dikenakan kadar 51.60 sen/kWj.
Untuk penggunaan antara 601 hingga 900 kWj pula, kadar dikenakan ialah 54.60 sen/kWj, dan bagi penggunaan melebihi 900 kWj, kadar adalah 57.10 sen/kWj.
Tiada caj minimum dikenakan kepada pengguna kediaman, dan bil dikira sepenuhnya berdasarkan penggunaan sebenar setiap bulan.
2. Kategori bukan domestik seperti perdagangan
Untuk kategori perdagangan yang melibatkan premis seperti kedai, pejabat, restoran, hotel, bank dan pangsapuri servis yang tidak digunakan sebagai tempat tinggal tetap, kadar tarif adalah berbeza dan melibatkan caj permintaan iaitu RM7.35 bagi setiap kilowatt (kW), manakala kadar tenaga ialah 39.90 sen bagi setiap kWj.
Pengguna dalam kategori ini juga dikenakan caj minimum sebanyak RM7.35 sebulan.
3. Kategori perindustrian (kilang dan pusat pengeluaran besar)
Kadar caj permintaan juga adalah RM7.35/kW, namun kadar tenaga sedikit lebih rendah iaitu 37.00 sen/kWj.
Caj minimum yang dikenakan untuk pengguna perindustrian ialah RM600 sebulan, tidak kira kadar penggunaan.
4. Kategori pertanian (ladang, pusat ternakan, rumah hijau dan aktiviti berkaitan agro lain)
Caj permintaan untuk kategori ini ialah RM3.00/kW, manakala kadar tenaga ialah 21.60 sen/kWj, dengan caj minimum sebanyak RM7.20 sebulan.
Malah, TNB turut memperkenalkan kadar khas bagi bekalan sementara yang biasanya digunakan untuk kerja-kerja pembinaan, penganjuran ekspo, karnival atau acara bersifat sementara.
Dalam kategori ini, kadar tenaga yang dikenakan ialah 50.60 sen/kWj dan caj minimum juga adalah RM600 sebulan.
Dalam pada itu, kesemua kategori pengguna, sama ada kediaman atau bukan kediaman, boleh menyemak penggunaan elektrik mereka serta membuat bayaran bil melalui aplikasi mudah alih myTNB atau menerusi laman rasmi TNB di www.mytnb.com.my.
Aplikasi dan portal ini juga membolehkan pengguna menjejak penggunaan bulanan, melihat sejarah bil, dan mendapatkan bantuan sokongan pelanggan.
Melalui struktur tarif yang lebih telus ini, pengguna dijangka dapat memahami dengan lebih baik bagaimana bil elektrik mereka dikira dan memberi isyarat kepada pengguna agar lebih bijak dalam penggunaan tenaga, selaras dengan usaha negara untuk menggalakkan kecekapan tenaga dan kemampanan penggunaan sumber.
TNB menasihati semua pengguna agar sentiasa mengikuti perkembangan dan maklumat terkini mengenai tarif dan dasar penggunaan elektrik melalui saluran rasmi mereka.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami