MALAYSIA
Tarif AS: Rundingan sistematik, kedaulatan negara tidak terjejas - MITI

Zafrul berkata, keputusan tersebut mencerminkan kekuatan hubungan ekonomi antara Malaysia dan Amerika Syarikat yang sudah terjalin sejak sekian lama. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Keputusan Amerika Syarikat (AS) menurunkan kadar tarif balas terhadap eksport Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus, merupakan satu pencapaian penting hasil proses perundingan yang teliti dan sistematik.
Ringkasan AI
- Amerika Syarikat menurunkan tarif eksport Malaysia daripada 25% kepada 19%, hasil rundingan dua hala yang dimuktamadkan pada 31 Julai.
- Malaysia berjaya kekalkan dasar utama tanpa kompromi terhadap kedaulatan, sambil memperkukuh hubungan dagang dengan AS dan rakan serantau.
- MITI akan terus sokong pengeksport melalui FTA dan reformasi industri, bagi mengurangkan kesan tarif dan melonjakkan daya saing ekonomi negara.
"Malaysia juga berjaya mengekalkan pendirian terhadap beberapa perkara kritikal tanpa menjejaskan hak kedaulatan negara untuk melaksanakan dasar utama demi kestabilan dan pertumbuhan sosioekonomi jangka panjang.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, keputusan tersebut mencerminkan kekuatan hubungan ekonomi antara Malaysia dan Amerika Syarikat yang sudah terjalin sejak sekian lama.
Beliau turut menyifatkannya sebagai bukti kepada kredibiliti Malaysia sebagai rakan dagang dan pelaburan yang diyakini di peringkat global.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawat kami di Amerika Syarikat, khususnya Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat dan Jabatan Perdagangan AS, atas kerjasama dan sokongan mereka sepanjang proses rundingan,” katanya.
MITI turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi berkaitan untuk menilai impak pelarasan kadar tarif terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), serta bagi mencari pendekatan terbaik untuk mengurangkan kesannya terhadap eksport negara.
"Dalam usaha menguruskan kesan tarif 19 peratus ini, MITI akan terus menggalakkan pengeksport untuk memanfaatkan sepenuhnya 18 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang dimiliki Malaysia.
" Selain itu, agenda pembaharuan industri diteruskan seperti yang digariskan menerusi Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030, Strategi Pelaburan Hijau, dan Strategi Semikonduktor Nasional.
"Semua inisiatif ini bertujuan membantu syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menyesuaikan operasi mereka dengan meningkatkan kecekapan, mengguna pakai automasi, serta melonjakkan produktiviti keseluruhan," katanya.
MITI turut menegaskan bahawa meskipun prospek ekonomi global semakin mencabar sejak Mac 2025 berikutan perubahan dasar perdagangan, ketidaktentuan tarif dan ketegangan geopolitik, Malaysia menghadapi risiko ini dari kedudukan yang kukuh dan berdaya tahan.
"Permintaan domestik yang stabil, dasar ekonomi yang progresif serta sokongan polisi kerajaan terus menjadi landasan kepada pertumbuhan mampan negara," ujarnya.
Dalam pada itu, MITI memaklumkan bahawa momentum pelaburan yang diluluskan kekal memberangsangkan, dengan kadar realisasi melebihi 85 peratus bagi projek-projek diluluskan yang melibatkan pembangunan infrastruktur, selain inisiatif pembangunan nasional berskala besar.
Mengulas lanjut, MITI merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam rundingan tersebut, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pejabat Perdana Menteri, pelbagai kementerian dan agensi, Kamar Dagang Amerika-Malaysia (AMCHAM), Majlis Perniagaan AS-ASEAN (USABC), serta wakil industri dan pemikir dasar yang memainkan peranan penting dalam membentuk tawaran terbaik Malaysia kepada Amerika Syarikat.
"Dalam bulan-bulan mendatang, MITI bersama kementerian dan agensi berkaitan akan melaksanakan program libat urus secara menyeluruh bagi memastikan pelaksanaan kadar tarif baharu ini difahami dan disesuaikan oleh pemain industri," kata kementerian itu.
Amerika Syarikat kekal sebagai pasaran eksport terbesar Malaysia, dengan nilai eksport mencecah RM198.65 bilion tahun lalu.
Negara itu juga merupakan penyumbang utama kepada pelaburan asing langsung di Malaysia, dengan jumlah pelaburan diluluskan berjumlah RM32.82 bilion pada tahun 2024.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami