MALAYSIA
Malaysia teliti langkah Trump umum tarif 100 peratus cip import

Tengku Zafrul berkata, industri semikonduktor Malaysia masih dikecualikan, tetapi tertakluk kepada semakan, perkembangan semasa dasar AS. - Gambar/ Japen
KUALA LUMPUR: Pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berhubung tarif 100 peratus terhadap semua produk semikonduktor import tidak dilihat sebagai langkah rasmi negara itu buat masa ini, kata Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Ringkasan AI
- Pengumuman Presiden AS Donald Trump mengenai levi 100 peratus terhadap produk semikonduktor belum dianggap sebagai dasar rasmi, dan Malaysia masih dikecualikan daripada tarif.
- Malaysia mengambil langkah berhati-hati kerana dagangan semikonduktor dengan AS bernilai AS$60.6 bilion, dan siasatan di bawah Akta Perluasan Perdagangan AS sedang dijalankan.
- MITI terus berhubung dengan Wakil Perdagangan dan Jabatan Perdagangan AS untuk mendapatkan penjelasan rasmi serta mempertahankan kepentingan pengeksport Malaysia.
“Pada April lepas, Jabatan Perdagangan AS (DOC) memulakan siasatan di bawah Seksyen 232 (Akta Perluasan Perdagangan 1962 AS) bagi menentukan sama ada import semikonduktor, peralatan dan pembuatan, juga produk terbitan berkaitan akan menjejaskan keselamatan negara itu.
“Patutnya siasatan itu diselesaikan pada akhir Disember, tetapi nampaknya telah dipercepatkan dan keputusan itu akan digunakan untuk tindakan selanjutnya termasuk kenakan tarif tinggi.
“Jadi bagi memastikan kepastian dan kestabilan dasar dapat dikekalkan, MITI sentiasa berhubung secara langsung dengan Wakil Perdagangan AS (Jamieson Greer) dan DOC. Kita ambil inisiatif untuk dapatkan penjelasan rasmi … kita akan terus perjuangkan kepentingan pengeksport Malaysia, dan memastikan sebarang perubahan dasar dapat dirunding lebih awal,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat, yang mahu mengetahui tentang langkah mitigasi kerajaan berhubung pengumuman mengejutkan Trump pada Rabu.
Trump dilaporkan sebagai berkata, kadar tarif 100 peratus akan dikenakan terhadap semua cip yang diimport dari negara yang tidak ada kilang pembuatan atau tidak merancang untuk berbuat demikian di AS.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami