NATIONAL
Tarif Trump bersifat pemerasan, ugutan - Azmi

Pendekatan perdagangan Presiden Trump disifatkan oleh Azmi sebagai tindakan 'semberono' yang bersifat ugutan dan pemerasan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pendekatan perdagangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump disifatkan sebagai tindakan 'semberono' yang bersifat ugutan dan pemerasan.
Menurut Felo Kanan Geostrategi Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan, pendekatan itu sekali gus memaksa negara-negara anggota ASEAN seperti Malaysia untuk meneroka pasaran baharu.
Beliau berkata, walaupun Trump menyatakan tarif dikenakan atas faktor manipulasi mata wang dan ketidakseimbangan dagangan, hakikatnya, tindakan tersebut tidak bersandarkan sebarang asas kukuh.
"Kalau kita lihat negara-negara seperti Laos, Kemboja dan Vietnam dikenakan tarif tinggi, dan begitu juga dengan negara yang lebih maju seperti Malaysia dan Singapura. Ini tindakan semberono,” katanya semasa ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Rabu.
Beliau turut menegaskan, amalan rundingan dua hala (bilateral) oleh Trump bertentangan dengan prinsip perdagangan bebas yang lazimnya dijalankan secara pelbagai hala (multilateral).
“Dalam FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas), tarif biasanya dikurangkan secara kolektif. Tetapi Trump main cara sendiri, anggap China akan tunduk, tapi China dan EU (Kesatuan Eropah) juga ada pelan mereka sendiri,” jelas Azmi.
Tambah beliau, situasi ini sebenarnya memberikan hikmah terselindung kepada negara-negara seperti Malaysia untuk memperluaskan pasaran eksport ke luar AS.
Azmi bagaimanapun mengingatkan, pasaran AS tetap penting kerana saiz dan kuasa belinya yang besar, namun kebergantungan sepenuhnya tidak lagi boleh dijadikan strategi jangka panjang.
Pada 2 April lalu, Trump mengumumkan tarif timbal balik 24 peratus ke atas import dari Malaysia dalam gelombang perang perdagangan global.
Trump turut mengumumkan tarif timbal balik yang tinggi terhadap China sebanyak 34 peratus, Kesatuan Eropah (20 peratus), Vietnam (46 peratus), Sri Lanka (44 peratus), Kemboja (49 peratus), Laos (48 peratus) dan Myanmar (44 peratus).
Di peringkat ASEAN, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Ekonomi pada 10 April ini akan membincangkan implikasi tarif AS ke atas aliran perdagangan dan pelaburan serantau, kestabilan makroekonomi, serta respons bersepadu blok itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami