MALAYSIA
Tarif Trump: "Tak salah kritik, tapi..." - Tengku Zafrul bidas Dr Mahathir

Dr Mahathir mengkritik keputusan kerajaan menerima pengurangan tarif AS daripada 25 peratus kepada 19 peratus.
KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menafikan dakwaan yang dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung perjanjian perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS), sambil menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak tepat dan mengelirukan.
Ringkasan AI
- Tengku Zafrul menyifatkan kenyataan bekas Perdana Menteri sebagai tidak tepat dan mengelirukan, khususnya berkenaan tarif dan eksport produk.
- Pengurangan tarif AS kepada 19% dianggap langkah strategik untuk melindungi eksport bernilai RM198 bilion dan lebih 100,000 pekerjaan.
- Malaysia komited memproses REE dalam negara bagi menjana nilai ekonomi tinggi dan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran.
Beliau turut mendakwa Malaysia bersetuju untuk membekalkan unsur nadir bumi (REE) kepada AS, dan menyifatkan perjanjian itu sebagai tidak menguntungkan serta merugikan ekonomi negara.
“Kerajaan nampaknya gembira dengan perjanjian yang dirundingkan dengan Trump.
“Malaysia memansuhkan semua cukai ke atas 11,000 produk dari AS, sedangkan AS hanya mengurangkan tarif sebanyak 6 peratus. Ini bukan perjanjian yang baik,” kata Dr Mahathir.
Beliau turut berhujah bahawa Malaysia sepatutnya memproses nadir bumi di dalam negara untuk mengekstrak unsur bernilai tinggi, yang menurutnya boleh memberikan pulangan sehingga 30 kali ganda berbanding eksport bahan mentah.
“Kenapa Malaysia begitu bodoh menerima hanya 5 peratus daripada nilai sebenar sedangkan kita boleh dapat banyak kali ganda?” katanya.
Mengulas dakwaan tersebut, Tengku Zafrul berkata keputusan kerajaan adalah berdasarkan pengurusan krisis yang bertanggungjawab dan bertujuan melindungi kepentingan ekonomi negara, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang menyumbang lebih RM198 bilion dalam eksport dan menyokong lebih 100,000 pekerjaan.
“Ini bukan soal ‘gembira’, Tun, tetapi soal menyelamatkan periuk nasi rakyat Malaysia.
“Kita berjaya mendapatkan kadar tarif 19 peratus yang sama seperti rakan-rakan ASEAN lain, dengan keutamaan kepada kestabilan ekonomi," katanya.
Beliau menjelaskan bahawa hanya 60.4 peratus baris tarif diberikan status duti sifar, bukan 100 peratus seperti yang didakwa oleh Dr Mahathir.
“100 peratus dan 60 peratus itu sangat berbeza. Tuduhan tersebut jelas tidak benar,” katanya.
Mengenai isu nadir bumi, Tengku Zafrul menegaskan bahawa tiada sebarang perjanjian, sama ada secara lisan atau bertulis untuk Malaysia membekalkan REE kepada AS atau mana-mana negara lain.
Beliau mengulangi bahawa kerajaan telah menguatkuasakan larangan eksport bahan mentah nadir bumi berkuat kuasa 1 Januari 2024, hasil keputusan Jemaah Menteri.
“Dasar ini jelas, nadir bumi mesti diproses dalam negara bagi memaksimumkan nilai kepada ekonomi negara,” katanya, sambil menambah bahawa industri tersebut dijangka menyumbang sehingga RM9.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang akhir 2025 dan mewujudkan ribuan pekerjaan berkemahiran tinggi.
Tengku Zafrul menyeru agar Dr Mahathir menyemak fakta sebelum membuat kenyataan awam, sambil menegaskan bahawa kritikan yang membina mestilah berasaskan maklumat yang tepat.
"Tak salah untuk mengkritik, tapi bila kritikan itu berlandaskan kepada tuduhan palsu, itu SALAH!" tegasnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami