Semalam penulis ada terdengar masalah seorang kenalan mengenai isu ‘tarik kereta’, iaitu kenderaan bermotor yang perlu ditarik balik oleh syarikat kewangan kerana kegagalan pembayaran sewa beli. Di sini kami huraikan secara ringkas tentang hak pembeli.
Apa sahaja kenderaan yang dibeli secara ‘sewa beli’ terus menjadikan pembeli sebagai ‘penyewa’ manakala syarikat kewangan pula adalah ‘pemunya’. Dan bagi kes pembelian kenderaan, ia tertakluk di bawah Akta Sewa Beli 1964 ataupun juga dikenali sebagai Akta 212.
Mengikut undang-undang, syarikat kewangan berhak mengambil semula (tarik) kenderaan tersebut apabila penyewa gagal membayar jumlah ansuran sebanyak dua kali berturut-turut; termasuk gagal membayar ansuran terakhir.
Sekalipun penyewa telah meninggal dunia, ansuran bulanan yang tidak dibayar selama empat bulan berturut-turut juga membolehkan kenderaan tersebut ditarik semula oleh syarikat kewangan.
Proses tarik kereta bermula dengan syarikat kewangan menghantar surat dikenali sebagai Notis Jadual Keempat. Surat ini adalah notis bertulis 21 hari menyatakan tindakan syarikat kewangan berkaitan untuk menarik balik kenderaan tersebut. Dua mingu (14 hari) selepas tarikh Notis Jadual Keempat dikeluarkan, akan dikeluarkan pula notis kedua. Maksudnya lebih kurang sama, iaitu untuk menyatakan hasrat syarikat kewangan untuk menarik balik kereta tersebut selepas tarikh luput notis Jadual Keempat.
Harus diingat bahawa surat ini akan dihantar kepada penyewa ke alamat terakhir di dalam rekod mereka. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab penyewa untuk mengemaskini apa-apa pertukaran alamat yang berlaku.
Sekarang kita tiba kepada isu yang penting – perkara berkaitan mengenai tindakan menarik kereta.
Selalunya syarikat kewangan akan melantik penarik kereta yang berdaftar dengan Persatuan Syarikat Sewa Beli Malaysia. Dan sebelum menarik kereta, dia perlu menunjukkan kepada penyewa kad pengenalan, kad kuasa dan surat arahan tarik kereta yang dikeluarkan oleh syarikat kewangan.
Dan individu penarik kereta ini perlu mematuhi beberapa peraturan, antaranya:
Perlu menunjukkan kad kuasa (diberi oleh syarikat kewangan) kepada penyewa |
Perlu bersikap profesional |
Perlu kelihatan kemas dan tidak datang dalam kumpulan yang ramai |
Tiada kekasaran digunakan |
Mereka tidak boleh memasuki premis penyewa tanpa izin penyewa |
Penyewa mesti diberi masa yang cukup untuk mengeluarkan barangan peribadi daripada kenderaan yang hendak ditarik |
Selepas kenderaan ditarik, pihak tarik kereta perlu membuat laporan polis dengan serta merta |
Di dalam 21 hari selepas kereta ditarik, syarikat kewangan akan memberi notis kepada penyewa dan setiap penjamin di dalam perjanjian sewa beli tersebut yang dikenali sebagai Notis Jadual Kelima. Di dalam notis ini tertulis kebenaran untuk si penghutang membayar balik jumlah hutang kepada pihak syarikat kewangan.
Selepas itu, penyewa boleh mendapatkan balik kenderaan yang ditarik setelah menjelaskan jumlah ansuran yang tertunggak dan kos-kos berkaitan sewaktu proses tarik dilakukan (kos penyimpanan, baik pulih, selenggaraan). Penyewa juga boleh mendapatkan balik kereta tersebut setelah membayar jumlah baki hutang sewa beli termasuk kos-kos berkaitan.
Jika kedua-dua perkara ini tidak terjadi dalam masa 21 hari setelah Notis Jadual Kelima dihantar, pihak syarikat kewangan berhak untuk menjual kenderaan tersebut melalui kaedah lelong.
Jika ada apa-apa masalah – terutamanya mengenai proses tarik kereta, seperti kekasaran ataupun pencerobohan premis tanpa izin penyewa – ada beberapa pihak yang dapat membantu. Yang paling penting adalah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia dan Khidmat Biro Bantuan Guaman.
[Namun penulis juga beranggapan yang penyewa juga perlu mengikut perjanjian sewa beli yang dibuat dengan syarikat kewangan. Jika gagal, jangan terlalu defensif apabila kenderaan perlu ditarik.]