Kementerian Pendidikan (KPM) membuat keputusan untuk menunda tarikh peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin, memaklumkan bahawa tarikh peperiksaan SPM dan SVM akan ditunda kepada suku pertama tahun 2021.

“Bagi calon STPM pula, tarikh peperiksaan Semester 2 diubah kepada Ogos 2020 manakala peperiksaan Semester 3 akan diadakan dalam suku pertama tahun 2021.

“Peperiksaan STAM juga akan diadakan dalam suku pertama tahun 2021,” katanya dalam satu sidang media di Putrajaya pada Rabu.

Selain itu, menyedari penundaan tarikh peperiksaan tersebut akan memberi kesan kepada kemasukan ke peringkat pengajian tinggi, beliau berkata KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju untuk menangguhkan tarikh kemasukan baharu ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi program asasi, matrikulasi dan peringkat diploma sehingga Julai atau Ogos 2021, manakala program ijazah pada September atau Oktober 2021.


Dalam perkembangan sama, beliau berkata KPM faham kebimbangan bahawa terdapat pertindihan antara pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima apabila penggal peperiksaan ditunda.

Namun, beliau berkata KPM mempunya kaedah untuk menangani sebarang masalah yang akan timbul.

“Kami sedar apabila lambatkan satu penggal, maka akan berlaku pertindihan... tetapi kami ada kaedahnya.

“Buat masa ini, memandangkan tempoh itu masih lama dan ada banyak ketidaktentuan, jadi kita akan perincikan kemudian. Kami ada pelbagai pilihan untuk dipertimbangkan. Apabila sampai masanya, saya akan umumkan kelak.

“Apa sahaja pilihan yang dipilih, KPM ingin menegaskan bahawa kami akan memastikan pelajar-pelajar kita yang menduduki peperiksaan mendapat ruang secukupnya sebelum menduduki peperiksaan masing-masing,” tambahnya.