MALAYSIA

Tauke vape dilantik Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau?

Umavathi Ramayah 03/07/2025 | 07:07 MYT
Firdaus Wong Wai Hung mempersoalkan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melantik individu yang mempunyai kepentingan dalam industri vape sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau, Negeri Sembilan.
KUALA LUMPUR: Pendakwah bebas Firdaus Wong Wai Hung mempersoalkan tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melantik individu yang mempunyai kepentingan dalam industri vape sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau, Negeri Sembilan.


Ringkasan AI
  • Firdaus Wong mempersoalkan pelantikan Presiden MRECA, yang mempunyai kepentingan dalam industri vape, sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau.
  • Beliau mempersoalkan mesej yang ingin disampaikan oleh KKM dan Menteri Kesihatan melalui pelantikan tersebut, yang dilihat bertentangan dengan imej hospital.
  • Setakat ini tiada kenyataan rasmi daripada KKM, walaupun kementerian sebelum ini menyatakan fokus kepada kawal selia penggunaan vape dan bukan pengharaman penuh.


Menerusi satu hantaran di akaun Facebook, Firdaus Wong mendedahkan pada 23 Jun lalu, Presiden Persatuan Peruncit Peranti dan Cecair Rokok Elektronik Malaysia (MRECA), Datuk Adzwan Ab Manas memuat naik surat pelantikan rasmi sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital berkenaan.


Surat pelantikan itu ditandatangani sendiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dengan pelantikan berkuat kuasa 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.

Menurut Firdaus, antara peranan Ahli Lembaga Pelawat Hospital adalah untuk menjelaskan isu berkaitan sistem penyampaian perkhidmatan hospital kepada orang awam dari semasa ke semasa, bagi menjaga nama baik dan imej hospital serta mengelakkan tanggapan negatif dalam kalangan komuniti.

"Saya tertanya, apakah mesej yang ingin disampaikan Menteri Kesihatan, KKM dan kerajaan apabila melantik tauke vape sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital?

"Adakah pelantikan tauke vape itu menjaga imej hospital serta mengelakkan tanggapan negatif dalam komuniti?

"Sesungguhnya, sebagai rakyat Malaysia, saya berminat nak tahu jawapannya," katanya pada Khamis.


Tauke vape dilantik Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau?

Dalam hantaran sama, Firdaus turut berkongsi salinan surat pelantikan Adzwan serta senarai terkini Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak KKM berhubung isu tersebut.

Dr Dzulkefly sebelum ini dilaporkan berkata KKM bersedia untuk meneliti semula cadangan pengharaman vape atau rokok elektronik secara menyeluruh di negara ini.

Namun, menurutnya, buat masa ini, tumpuan kementerian adalah kepada kawal selia dan pengawalan penggunaan vape.







#Dzulkefly Ahmad #Kementerian Kesihatan #vape #ahli lembaga kkm #Presiden MRECA #Adzwan Ab Manas