KANGAR: Seorang lelaki warga Thailand dijatuhi hukuman didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen, Kangar hari ini selepas mengaku bersalah menawarkan suapan kepada seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) sebagai balasan melepaskan diri daripada kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah di Padang Besar pada April lalu.

Tertuduh, Phuwanai Reangmanee, 30, turut berdepan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Thailand oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menawarkan suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM4,800 kepada seorang anggota PGA berpangkat Koperal sebagai balasan melepaskan dirinya atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana berada di negara ini tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan berkenaan di ladang getah KTJ Komtak B Pos C26 Padang Besar jam 11.30 malam pada 23 April lalu.

Mahkamah mendapati, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan di mana boleh dipenjara satu perempat daripada tempoh penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azlina Khasim, manakala tertuduh diwakili peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.

Dalam permohonannya, Syed Muhammad Anwar memohon mahkamah memberikan hukuman ringan terhadap anak guamnya kerana itu adalah kesalahan pertama.

Azlina dalam hujahan balasnya memohon mahkamah memberikan hukuman sewajarnya kepada tertuduh kerana tertuduh tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah ketika berada di negara ini.

Wang tunai RM4,800 milik tertuduh juga dilucutkan hak dan diserahkan kepada kerajaan.

Tertuduh kemudian membayar denda yang dikenakan.