MALAYSIA
Tekanan tektonik punca gempa bumi lemah di Segamat - JMG

Gempa bumi lemah berukuran magnitud 3.2 yang berlaku di Segamat, Johor semalam berpunca daripada pengaktifan semula Sesar Mersing akibat tekanan tektonik serantau, menurut Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.
PUTRAJAYA: Gempa bumi lemah berukuran magnitud 3.2 yang berlaku di Segamat, Johor semalam berpunca daripada pengaktifan semula Sesar Mersing akibat tekanan tektonik serantau, menurut Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).
JMG dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Malaysia terletak di atas Plat Sunda yang relatif stabil namun menerima pengaruh tekanan daripada sistem tektonik serantau, khususnya Jalur Subduksi Sunda di barat Sumatera.
Menurut kenyataan itu, tekanan tersebut berpotensi mengaktifkan semula sesar-sesar di Semenanjung Malaysia yang boleh menghasilkan gempa bumi bersaiz kecil hingga sederhana.
"Semakan awal peta seismotektonik menunjukkan pusat gempa Segamat berada berhampiran lanjutan Sesar Mersing yang berorientasi barat-barat laut hingga timur tenggara."Analisis awal seismologi mendapati gempa bumi ini berpunca daripada pergerakan sesar mendatar sinistral, iaitu blok kerak bumi di utara sesar bergerak ke arah barat manakala blok di selatan sesar bergerak ke arah timur," menurut kenyataan itu.
JMG memaklumkan, kejadian itu menunjukkan berlakunya pengaktifan semula sesar berkenaan, manakala kedalaman gempa cetek (+-10 km) mengesahkan ia berpunca daripada pergerakan kerak benua, bukan aktiviti gunung berapi atau subduksi laut dalam.
Menurut JMG, sejarah gempa bumi di Semenanjung Malaysia turut merekodkan beberapa kejadian terdahulu antaranya di Bukit Tinggi (Pahang), Kenyir (Terengganu), Kuala Pilah (Negeri Sembilan) serta Manjung-Temenggor (Perak).
"Johor juga pernah mengalami gegaran kecil pada 2021 dan 2023 yang berpunca daripada aktiviti seismik di luar pesisir Sumatera.
"Kesemua insiden, termasuk gempa di Segamat ini menunjukkan plat benua Semenanjung masih menyimpan tenaga atau tegasan tektonik yang boleh dilepaskan dari semasa ke semasa dan menghasilkan pergerakan bumi," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, JMG menegaskan, pemantauan seismik berterusan, pemetaan semula sesar serta pembangunan sistem amaran awal perlu diberi perhatian bagi meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat dan melindungi infrastruktur sedia ada.
JMG bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan terus memperkukuh pemantauan serta analisis saintifik di kawasan berisiko bagi menghadapi ancaman gempa bumi sama ada yang berpusat dalam negara atau berpunca daripada aktiviti seismik di negara jiran.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami