KUALA LUMPUR: Penerapan konsep integrasi antara tanaman dengan ternakan merupakan antara langkah yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar untuk menjamin sekuriti makanan negara kita.

Itu yang dilakukan oleh Famox Plantation (M) Sdn Bhd yang menggabungjalinkan ladang jagung bijirin dengan ternakan ayam dan lembu yang dimiliki untuk mewujudkan satu ekosistem yang memanfaatkan segala yang dihasilkan termasuk bahan buangan.

“Sudah pasti ia satu langkah yang lestari kerana kita bagi lembu kita makan rumput, ayam kita diberi dedak daripada jagung bijirin yang kita tanam dan najis buangan mereka kita pakai balik kepada tanaman kita. Ini dipanggil “zero-waste farm.”

“Di sini kami dah jimat duit yang banyak sebab baja organik pun dah mahal sekarang,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Famox Plantantion, Ramana K. Naidu.

Katanya, dengan cara ini syarikat berkenaan tidak lagi akan berdepan masalah sekiranya berdepan kesukaran untuk mendapatkan baja, organik mahupun kimia, yang majoritinya diimport.

Sementara ekosistem itu mengambil masa untuk menjadi lebih mampan, beliau tidak menafikan syarikatnya masih membeli baja daripada luar.

Namun ada cara untuk membelinya supaya pembelian lebih berbaloi dan sejumlah wang dapat dijimatkan untuk kegunaan lain.

“Kita buat pembelian (baja) secara pukal. Kita bekerjasama dengan pasukan kita, contohnya kita ada 10 ekar tapi bila saya ada 10 orang kita sudah ada 100 ekar.

“Walaupun saya dapat jimat RM10 untuk satu tan, tapi saya beli 100 tan saya sudah untung besar.”

Tonton temu bual penuh bersama beliau dalam program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar, di sini:


Teknik perladangan integrasi cara jamin sektor makanan dengan lebih efisien


Agenda AWANI: Jagung Bijirin I Solusi krisis bekalan makanan?