KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan Komoditi (KPK) akan terus komited perkukuh daya saing industri pengilangan minyak sawit.
Menteri KPK, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata usaha tersebut dilaksanakan melalui penerapan teknologi, amalan kelestarian serta pembangunan modal insan yang bersepadu selaras dengan keperluan industri yang semakin dinamik.
Advertisement
“Kecemerlangan industri memerlukan pendekatan seimbang yang menggabungkan teknologi, amalan lestari dan pembangunan bakat sebagai asas kepada industri yang kukuh dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang disiarkan hari ini ketika menghadiri Persidangan Pengilang-Pengilang Minyak Sawit Antarabangsa 2026 (IPOMC 2026) anjuran The Incorporated Society of Planters (ISP) yang berlangsung dari 23 hingga 25 April 2026 di Kuala Lumpur.
Persidangan tersebut melibatkan 300 delegasi industri dan merupakan platform penting untuk membincangkan hala tuju masa depan sektor pengilangan minyak sawit.
Noraini turut menyatakan penggunaan teknologi seperti pendigitalan, automasi, analitik data dan kecerdasan buatan (AI) adalah penting.
Ia mampu meningkatkan kecekapan operasi, mempertingkat kawalan kualiti, mengurangkan gangguan operasi serta membolehkan penyelenggaraan yang lebih proaktif melalui penggunaan data, ujar Noraini.
Tambahnya, aspek inovasi dan penyelidikan turut diberi penekanan bagi meneroka pendekatan baharu termasuk pembangunan produk yang lebih mampan dan memenuhi keperluan pasaran yang semakin berubah.
Sejajar dengan itu, kelestarian terus menjadi keutamaan melalui pengurusan sumber yang bertanggungjawab, peningkatan kecekapan tenaga serta pengurangan sisa.
Menurut Noraini, pematuhan kepada piawaian seperti Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) serta pengurusan isu keselamatan makanan termasuk 3-MCPD dan glycidyl esters adalah penting.
“(Ia) bagi memastikan reputasi industri terus terpelihara serta akses pasaran antarabangsa kekal terjamin,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pembangunan modal insan akan terus diperkasa melalui pelaburan dalam pendidikan serta latihan berterusan.
Selain itu, pembangunan kepimpinan juga akan diberi tumpuan bagi memastikan tenaga kerja industri kekal berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi perubahan.
Pada masa sama beliau turut menekankan kerjasama erat antara pemain industri, agensi kerajaan dan institusi akademik turut menjadi elemen penting dalam membangunkan ekosistem industri yang lebih mampan, inovatif dan berdaya tahan.
“KPK yakin melalui pendekatan bersepadu yang menekankan penggunaan teknologi, pengukuhan amalan kelestarian dan pembangunan bakat. Industri pengilangan minyak sawit negara akan terus kekal berdaya saing serta relevan di peringkat global,” katanya lagi.