Skip to main content

Malaysia

Bidaan nombor pendaftaran istimewa "P_P" terima sambutan memberangsangkan - JPJ

61736743505_TBAEDYFADLY.jpg
Aedy Fadly menyeru orang ramai supaya tidak melepaskan peluang menyertai bidaan siri “P_P” yang kini berbaki sehari sahaja lagi sebelum ditutup. - Gambar fail

PUTRAJAYA: Bidaan nombor pendaftaran istimewa (NPI) siri “P_P” melalui sistem dalam talian JPJeBid menerima sambutan yang amat memberangsangkan sejak dibuka pada Isnin lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli berkata lebih 6,000 pembida telah mengambil bahagian setakat ini, mencerminkan kecenderungan berterusan orang ramai terhadap nombor pendaftaran kenderaan bernilai premium.

Advertisement

“Beberapa nombor utama turut mencatatkan persaingan sengit manakala nombor-nombor popular terus menjadi pilihan dalam kalangan pembida,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aedy Fadly turut menyeru orang ramai supaya tidak melepaskan peluang menyertai bidaan siri “P_P” yang kini berbaki sehari sahaja lagi sebelum ditutup. 

JPJ membuka bidaan NPI dengan tanda indeks “P_P” sempena sambutan ulang tahun ke-80 jabatan itu, selama lima hari bermula 20 April lepas.

Penawaran siri eksklusif berkenaan adalah simbolik memperingati lapan dekad peranan dan sumbangan JPJ dalam pembangunan sistem pengangkutan negara.

Harga bidaan minimum ditetapkan mengikut kategori, iaitu nombor utama bermula RM20,000, premium (RM5,000), menarik (RM2,500), popular (RM500) dan biasa (RM300).

-- BERNAMA

Must Watch Video