Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan melaksanakan transformasi terhadap perkhidmatan teksi mulai tahun ini termasuk memperkenalkan aplikasi seperti yang digunakan Uber dan GrabCar.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata aplikasi itu akan dibangunkan bersama pengendali rangkaian dalam usaha untuk memberi keselesaan dan kemudahan kepada pengguna.

"Kita akan bela pemandu teksi...percayalah kepada kerajaan," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini, pada Isnin.

Abdul Aziz juga menolak dakwaan bahawa sistem perkhidmatan teksi negara berada pada tahap rendah, sebaliknya berkata masyarakat memilih perkhidmatan Uber dan GrabCar disebabkan kedua-duanya menggunakan aplikasi yang mudah diakses.

Isu perkhidmatan teksi kembali mendapat perhatian berikutan sekumpulan pemandu teksi yang melakukan mogok berhampiran Pavilion, Bukit Bintang Selasa lepas kerana membantah perkhidmatan Uber dan GrabCar yang didakwa menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata siasatan dan pencarian MH370 tidak ditumpukan di Maldives dan kawasan sekitarnya, sebaik kehilangan pesawat itu kerana tiada pendapat pakar dan sokongan teknikal yang boleh membuktikannya.

Beliau berkata bagaimanapun dengan penemuan terbaharu serpihan pesawat di Mauritius, yang jaraknya kira-kira 3,000 kilometer dari Maldives, mengukuhkan analisa pakar bahawa pesawat malang berkenaan berakhir di selatan Lautan Hindi.

"Dakwaan penduduk Maldives bahawa mereka melihat pesawat terbang rendah di kepulauan mereka pada hari kehilangan MH370 tidak disokong secara teknikal dan kita perlukan pendapat dari pakar untuk mengesahkannya," katanya.

Pada 19 Mac 2014, pihak berkuasa Maldives mula menyiasat dakwaan penduduk di sebuah pulau di kepulauan Maldives yang dikatakan melihat pesawat terbang rendah pada hari kejadian pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang.

Bagaimanapun, laman web berita Haveeru Online melaporkan polis republik itu tidak memberikan sebarang butiran lanjut.

Semalam, serpihan dipercayai daripada bahagian dalam kabin pesawat MH370 dijumpai di sebuah pulau di Mauritius, timur Afrika, menurut satu laporan.

Pakar Bebas (IG) MH370 Don Thompson memberitahu news.com.au bahawa beliau sudah melihat gambar bahagian berkenaan dan berkata ia sepadan dengan dinding sekat daripada kelas bisnes pesawat MAS Boeing 777.

Bagaimanapun, menurutnya kemasan hiasan pada bahagian itu tidak hanya berasal dari seksyen pesawat milik Boeing 777, malah ia mungkin juga dari kelas ekonomi.