Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengingatkan peniaga dan pemilik premis perniagaan agar melabelkan barangan yang diperbuat dari bulu binatang terutama babi dan anjing susulan tempoh sebulan arahan berkenaan yang tamat hari ini.

Justeru, sebarang tindakan susulan daripada kementerian itu akan dilakukan berkuatkuasa esok berdasarkan Akta Perihal Dagangan 2011.

"Hari ini cukup tempoh sebulan yang kita umumkan. Tunggu, kalau kita ada tangkap orang atau tidak.

"Saya tidak akan beritahu kalau ada operasi. Takkan ada operasi esok kami nak beritahu," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Citarasa Malaysia dan Sehari Bersama Usahawan-Usahawan PKS Bimbingan KPDNKK di sini hari ini.

Bagi kesalahan pertama individu, berdasarkan Perintah Dagangan (Barangan Yang Diperbuat Daripada mana-mana Bahagian Babi atau Anjing) mana-mana individu yang didapati melanggar akta berkenaan boleh didenda tidak lebih RM 100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya.

Manakala bagi kesalahan pertama perbadanan, mereka boleh didenda tidak lebih RM200,000.

''Akta (berkaitan) itu sudah ada. Jadi sebab itu apabila akta sudah ada dan saya beri tempoh sebulan, saya mengarahkan supaya peniaga-peniaga memastikan supaya barang-barang yang diperbuat daripada bulu binatang terutama babi dan anjing hendaklah diberitahu kepada pembeli," jelasnya.

Hamzah berkata langkah melabelkan produk berkenaan akan membolehkan pengguna peka dan dimaklumkan mengenai barangan yang diperbuat daripada bulu babi atau anjing.

"Tidak kira individu (pembeli) itu beragama Islam atau bukan beragama Islam, berbangsa Cina, India, pergi ke kedai itu anda (peniaga) dan beritahu kalau ia diperbuat daripada bulu babi.

"Malah, ada sebahagian orang bukan beragama Islam yang tidak mahu pakai barangan bulu babi," kata beliau lagi.

9 Febuari lalu, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah mengarahkan pegawai-pegawainya agar tidak lagi melakukan rampasan terhadap berus yang diperbuat daripada bulu binatang.

Beliau bagaimanapun menegaskan pengusaha perlu melabel barangan yang diperbuat daripada bulu binatang seperti babi atau anjing.

Susulan itu, KPDNKK memberikan tempoh satu hingga dua bulan kepada peniaga untuk melabelkan produk berkenaan atau berdepan tindakan.