PENDANG: Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengambil langkah drastik bagi mengisi kekurangan tenaga kerja dalam sektor pelancongan dan perhotelan di Langkawi dengan menggerakkan program temu duga terbuka lebih kerap di seluruh negara.

Timbalan Menterinya Datuk Awang Hashim berkata temu duga itu diadakan melalui jawatankuasa khasnya bersama pemain industri berkaitan sejak awal bulan ini.

"Kita sekarang agresif mengadakan temu duga ini di Sabah dan Sarawak supaya kita tidak perlu bergantung kepada pekerja asing serta memastikan agensi di bawah KSM seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) perlu adakan temu duga ini secara lebih kerap dan pantas untuk ambil anak muda dari Sabah dan Sarawak.

"Dengan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan, kita yakin pihak majikan tidak mempunyai masalah untuk membayar gaji berkenaan malah mampu membayar lebih selepas pelancongan di Langkawi kembali rancak," katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pendang dan Dewan Undangan Negeri Tokai di sini pada Khamis.

Awang berkata kementeriannya juga akan terus memberi tumpuan kepada penyediaan latihan kemahiran berkaitan sektor pelancongan dan perhotelan untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja dalam bidang itu.

"Buat masa ini tiada keperluan untuk pekerja asing mengisi sektor pelancongan dan perhotelan kerana apabila kita mengadakan operasi di Langkawi, didapati hanya seorang pekerja asing bekerja di dua hotel bertaraf lima bintang manakala 99 peratus adalah pekerja tempatan.

"Tidak timbul isu pekerja tempatan tidak mahu bekerja dalam sektor berkenaan. Saya harap pekerja tempatan akan ambil kesempatan ini kerana ia bukan sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar), jadi sesuai dengan kehendak masyarakat kita," katanya.

Awang berkata pemantauan JTK mendapati 17,000 pekerja diperlukan dalam sektor pelancongan dan perhotelan di Langkawi sejak sektor itu kembali dibuka melalui gelembung pelancongan dan terdapat lebih 2,000 majikan aktif dalam sektor pelancongan dan perhotelan di Langkawi yang memerlukan pekerja.

-- BERNAMA