KUALA LUMPUR: Seorang penjawat awam yang bertugas di sebuah kementerian antara empat individu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait isu tender pembekalan bagi sebuah agensi penguat kuasa bernilai RM42 juta.

Kesemua suspek yang berusia lingkungan 32 hingga 61 tahun itu direman selama enam hari bermula hari ini.

Permohonan reman tersebut dibenarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya. di sini hari ini.

Difahamkan kesemua mereka ditahan kira-kira pukul 10 malam Selasa di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Menurut sumber, suspek dipercayai meminta dan membayar rasuah sebanyak lima peratus dari nilai projek berdasarkan tuntutan kemajuan bagi memperoleh tender perkhidmatan membekal, memproses, mencetak dan mengepos saman sebuah agensi penguat kuasa yang bernilai RM42 juta.

Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, dalam kes berasingan di mahkamah sama, seorang ahli perniagaan direman selama lima hari bermula hari ini kerana dipercayai terlibat dalam pengubahan wang haram.

Suspek berusia 43 tahun telah ditahan kira-kira pukul 5.20 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Suspek dipercayai memperolehi wang menerusi penjualan kereta Ferrari bernilai hampir RM1 juta bukan miliknya bagi membeli sebuah kereta Lamborghini bernilai RM1.8 juta untuk dirinya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.