SERDANG: Polis telah menerima laporan berkaitan video tular yang memaparkan tiga lelaki sedang menunggang kereta lembu di Jalan Besar, Seri Kembangan di sini, pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pemilik kereta lembu itu telah membuat laporan di Balai Polis Seri Kembangan pada Khamis.

"Menurut pemilik kereta lembu tersebut, tiga lelaki warga tempatan itu sedang berlatih untuk perarakan upacara keagamaan.

"Perarakan tersebut dijangka bermula pada Februari sempena Thaipusam," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Anbalagan berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati video berdurasi enam saat tersebut telah dirakam pada jam 10 pagi, kemudiannya telah tular di media sosial.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 11 (c) Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya. - Sinar Harian