Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah baginda masih belum menerima sebarang laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung sindiket penjualan darjah kebesaran yang tidak wujud dan didakwa berlaku di negeri ini.

"Saya rasa saya tunggu laporan dulu sebelum komen... Setakat ini saya hanya tahu menerusi media masa. Bagaimanapun, saya rasa memang ada sindiket ini," titah ringkas Tengku Abdullah menerusi aplikasi Whatsapp kepada Bernama menerusi Pegawai Media baginda Abdul Rahim Othman di sini hari ini.

Baginda bertitah demikian ketika diminta mengulas berhubung laporan media tentang penahanan seorang wanita berumur 39 tahun dipercayai terbabit dengan sindiket penawaran dan penjualan gelaran darjah kebesaran negeri ini yang tidak wujud, Jumaat lalu.

Suspek yang berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur ditahan di sebuah restoran di Chow Kit pada 6 petang hasil risikan dan maklumat awam yang diterima.

Wanita berkenaan dipercayai membuat pengiklanan pembelian darjah kebesaran itu sejak tiga minggu lalu dan dijangka berjumpa pembeli pada 23 Feb ini.

Dia bersubahat dengan seorang suspek lelaki berumur 40an bagi meyakinkan mangsa untuk membeli gelaran 'Datuk' dan 'Datuk Seri' yang ditawarkan pada RM180,000 hingga RM400,000.

-- BERNAMA