Tentera Darat mesti berani melangkah ke hadapan, jadikan AI teras transformasi - PTD

Muhammad Hafizuddeain (kanan) menerima cenderahati pembesar suara yang telah diubahsuai dan dihasilkan dari tong peluru pada Anugerah Inovasi Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi, malam tadi. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) mesti berani melangkah ke hadapan dengan menjadikan kecerdasan buatan (AI) sebagai teras transformasi organisasi, bagi memastikan pasukan itu kekal relevan dalam era peperangan moden.
Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata keupayaan berinovasi kini menjadi kunci kekuatan sesebuah angkatan tentera, justeru AI perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kecekapan operasi dan keupayaan pertahanan negara.
"AI bukan sekadar alat yang memudahkan tugas, tetapi pemangkin kepada peningkatan kecekapan, penjimatan sumber dan penyelamatan nyawa. TDM mesti tangkas, adaptif dan berteraskan ilmu bagi menghadapi cabaran keselamatan masa kini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Inovasi Tentera Darat 2024 di sini, malam tadi.
Bagaimanapun pada masa sama, Muhammad Hafizuddeain mengingatkan bahawa teknologi hanyalah alat, manakala manusia merupakan pemangkin sebenar inovasi dalam pertahanan negara.
Beliau berkata fokus pembangunan masa depan, merangkumi empat aspek utama iaitu pembangunan doktrin dan latihan berasaskan data, sistem pemeriksaan dan penilaian, pengurusan aset serta penyelenggaraan prediktif, dan sokongan keputusan operasi melalui analitik pintar.
"Kita perlu melahirkan warga Tentera Darat yang bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi pencipta solusi. Dengan inovasi, ilmu dan kesetiaan, TDM akan menjadi angkatan pintar berteknologi tinggi dalam mempertahankan bukan sahaja tanah air, tetapi masa depan negara," katanya.
Muhammad Hafizuddeain berkata penekanan terhadap pembangunan teknologi dan AI juga perlu dimasukkan dalam Pelan Tindakan Angkatan Masa Hadapan (Domain Daratan) bagi memastikan Tentera Darat tidak ketinggalan dalam revolusi teknologi global.
Sementara itu, Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam kenyataan hari ini memaklumkan TDM mencapai kejayaan membanggakan, apabila memenangi tujuh daripada 14 projek inovasi pada peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM), serta empat kejuaraan di peringkat Kementerian Pertahanan (MINDEF).
"Lebih membanggakan, Left (PKW) Mohamad Hanafi Salam dari TDM yang mewakili pasukan inovasi MINDEF, berjaya meraih satu pingat emas dan satu pingat perak melalui projek Free Energy Water Pump (FEWP 2.0) di Indonesia Inventors Day (IID) 2025 yang berlangsung dari 11 hingga 14 Sept.
"Susulan itu, Mohamad Hanafi dianugerahkan Inovator Harapan TDM, sebagai pengiktirafan atas sumbangan besar beliau dalam pembangunan projek FEWP 2.0, iaitu sebuah inovasi pam air tanpa tenaga elektrik yang mesra alam dan efisien, memberi impak besar terhadap operasi lapangan serta aplikasi kemanusiaan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


