KOTA TINGGI: Seorang nelayan asing warga Indonesia terpaksa berpaut hampir 12 jam pada pelampung pukat sebelum diselamatkan nelayan tempatan di kedudukan 1.0 batu nautika tenggara Tanjung Penyusop di sini pada Sabtu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, mangsa, Malik Karim, 43, keluar menangkap ikan dengan rakannya sebelum bot mereka terbalik dipukul ombak di perairan Batam, kira-kira jam 9 malam Jumaat.

"Mangsa dapat berpaut pada pelampung pukat manakala rakannya dilihat sempat berpaut pada bot, dipercayai hanyut dalam perairan Indonesia.

"Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat daripada nelayan tempatan mengenai penemuan mangsa di kedudukan 1.0 batu nautika tenggara Tanjung Penyusop kira-kira jam 8 pagi Sabtu.

"Sejurus menerima maklumat, Op Carilamat diaktifkan MRSC Johor Bahru, bot Perkasa 29 diatur gerak untuk pencarian di sekitar lokasi dan mangsa ditemui selamat," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Nurul Hizam berkata, Op Carilamat ditamatkan pada jam 1 tengah hari dan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

"Mangsa diberi rawatan awal, kini berada dalam keadaan stabil dan tiada sebarang kecederaan.

"Mangsa seterusnya dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili dan akan diserahkan kepada pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia untuk tindakan lanjut," katanya.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.