AIRASIA-QZ8501
Terbang tanpa laporan cuaca, AirAsia Indonesia nafi dakwaan

Untuk menyusun jadual penerbangan, semua pesawat perlu mengambil kira maklumat keadaan cuaca yang disediakan oleh lembaga rasmi dari negara tempat ia berangkat. - Gambar fail
Pesawat AirAsia QZ8501 laluan Surabaya-Singapura yang dilaporkan terhempas Ahad minggu lalu didakwa telah berlepas tanpa membawa bersama laporan keadaan cuaca, lapor portal berita Tempo.co.
Maklumat penting itu dikatakan diminta AirAsia melalui pegawai Flight Operations Officer (FOO) hanya setelah 42 minit pesawat tersebut dilaporkan hilang.
Perkara tersebut didedahkan melalui siaran surat yang didakwa daripada Ketua Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) republik itu kepada Menteri Perhubungan Indonesia bertarikh 31 Disember 2014.

surat tempo
Surat didakwa daripada Ketua Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) kepada Menteri Perhubungan Indonesia. -Tempo.co
Surat yang ditandatangani Ketua BMKG, Andi E. Sakya, tersebut antara lain menyebut tentang rekod di dalam buku log di Stesen BMKG Juanda Surabaya yang menunjukkan syarikat penerbangan tersebut hanya meminta maklumat cuaca pada jam 7 pagi, sedangkan pesawat berkenaan telah berlepas pada jam 5.35 pagi.
“Ketika itu, rakaman satelit di beberapa wilayah Indonesia memberikan paparan tentang keadaan berawan termasuk pembentukan kumulonimbus.
“Untuk menyusun jadual penerbangan, semua pesawat perlu mengambil kira maklumat keadaan cuaca yang disediakan oleh lembaga rasmi dari negara tempat ia berangkat, dalam hal ini daripada BMKG.
"Peraturan Keselamatan Penerbangan Awam Bahagian 121 telah menyebut tentang hal ini,” kata petikan laporan BMKG.
Menurut Andi, isu pesawat Air Asia QZ8501 yang terbang tanpa laporan penting itu juga telah menjadi buah bicara dalam komunikasi tertutup dengan Presiden Joko Widodo.
Dalam perbincangan itu juga, terdapat dua pesawat yang menuju ke Singapura dari Surabaya iaitu China Airlines 752 yang terbang pada jam 6.05 pagi dan Garuda Airlines pada jam 7.30 pagi.
Kedua-dua pesawat berkenaan dilaporkan mengambil laporan cuaca daripada BMKG.
Kejanggalan itu turut dipersoalkan bekas penyiasat Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, Ruth Hanna Simatupang yang antara lain mengambil kira faktor pelepasan pada awal pagi.
“Pesawat itu berangkat pada waktu awal pagi dan kru perlu bersedia sekurang-kurangnya 2 jam setengah lebih awal daripada itu kerana ia merupakan penerbangan antarabangsa.
“Adakah lapangan terbang Juanda menyediakan kru pada jam 4 pagi? Mungkin sebab itu pegawai FOO tidak mengambil laporan daripada BMKG. Ataupun BMKG yang tidak menyediakan pegawainya,” ujar Hanna.
AirAsia Indonesia nafi dakwaan
Dakwaan tersebut, walau bagaimanapun, dinafikan Pengarah Presiden AirAsia Indonesia, Sunu Widyatmoko.
"AirAsia Indonesia benar-benar mempertimbang dan sangat berhati-hati dalam menilai laporan cuaca daripada BMKG sebelum setiap penerbangan,” katanya seperti yang dilapor StraitsTimes.com.
Menurut Sunu, stesen BMKG di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta menghantar laporan melalui emel empat kali sehari kepada pusat operasi AirAsia Indonesia.
“Laporan-laporan ini diterima pusat kawalan operasi di semua hab AirAsia Indonesia iaitu di Jakarta, Medan, Surabaya, Bandung dan Denpasar. Semua laporan dicetak dan disimpan oleh juruterbang,” jelasnya.
Agensi meteorologi BMKG semalam dilaporkan berkata cuaca merupakan "faktor pencetus" kepada tragedi Penerbangan AirAsia QZ8501 di mana fenomena pengaisan mungkin menjadi penyebab kerosakan enjin pada pesawat malang tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami