KUALA LUMPUR: Sebagai sebuah badan penguatkuasa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh menyiasat sesuatu dengan sesuka hati tanpa bukti.

Pengerusi Biro Politik, Majlis Perundingan Melayu (MPM) Shahbudin Embun berkata, ini kerana pengasingan kuasa memastikan bahawa bidang kuasa SPRM terhad kepada penyiasatan kes berkaitan rasuah.

"Apabila sesebuah laporan atau aduan rasmi telah dibuat kepada SPRM, Suruhanjaya itu terikat dengan tanggungjawab untuk mengesahkan dan menyiasat laporan tersebut. SOP ini adalah perkara yang biasa dan tidak patut disensasikan oleh pihak-pihak tertentu.

"Prinsip pengasingan kuasa memastikan tiada penumpuan kuasa dalam satu-satu badan atau institusi. Jadi sesiapa yang di bawah siasatan tidak perlu berasa gusar sekiranya mereka tidak berbuat salah kerana tindakan undang-undang seterusnya tidak dapat dijalankan tanpa bukti yang mencukupi," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Beliau mengulas laporan yang mendakwa Hakim Mahkamah Rayuan, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali, disiasat berhubung konflik kepentingan dalam kes rayuan SRC International yang melibatkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dakwaan itu dikeluarkan blogger Raja Petra Kamarudin dalam portal Malaysia Today yang menyebut Mohd. Nazlan disiasat berhubung wang RM1 juta yang tidak diisytihar dalam akaun.

Mohd Nazlan pada Khamis lalu telah membuat  laporan polis menafikan tuduhan yang dibuat Raja Petra.

SPRM telah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan, dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan bahawa siasatan telah dimulakan.

Tambah Shahbudin, SPRM dan juga PDRM telah diberikan mandat untuk menyiasat kes kesalahan jenayah malah terdapat beberapa kes di mana hakim, yang ditakrifkan oleh undang-undang sebagai pegawai badan awam, disiasat dan didakwa atas pertuduhan rasuah.

"Isu rasuah adalah salah satu musuh utama negara selain dadah. Sebagai badan yang di amanahkan untuk bertindak “without fear and favour” membendung rasuah, maka rakyat patut mengalu-galukan tindakan SPRM melaksanakan tugas dan fungsinya.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sendiri telah menyatakan di Parlimen bahawa beliau tidak berkompromi dan tidak masuk campur terhadap semua proses pengadilan kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan," ujarnya lagi.