KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menempah tiket ke separuh akhir Terbuka Hylo 2021 di Jerman selepas menundukkan pemain Thailand Kantaphon Wangcharoen dalam perlawanan suku akhir hari ini.

Biarpun memenangi set pertama 21-13 dengan selesa, Juara All England 2021 terselamat dalam aksi set kedua yang mendebarkan setelah ketinggalan 6-16 sebelum bangkit untuk merapatkan jurang mata kepada 16-16 dan seterusnya menewaskan Kantaphon 22-20.

Zii Jia yang merupakan pemain pilihan kedua kejohanan akan bertemu dengan pemenang satu lagi perlawanan suku akhir hari ini antara pemain pilihan keenam, Srikanth Kidambi dari India dan pemain pilihan ketiga, Angus Ng Ka-long yang mewakili Hong Kong.

Zii Jia kini menjadi pemain kegemaran untuk menjuarai kejohanan badminton ini selepas pilihan nombor satu Chou Tien Chen dari Taiwan kalah mengejut kepada pemain Singapura, Loh Kean Yew 18-21, 13-21 dalam pusingan pertama, Rabu lepas.

Sementara itu, pasukan beregu campuran Malaysia, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei akan berhadapan pasangan Thailand Supak Jomokh-Supissara Paewsampran lewat hari ini untuk menentukan satu slot ke peringkat separuh akhir.

-- BERNAMA