Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan sejumlah 5,762 kebakaran terbuka sepanjang Februari ini di seluruh negara akibat musim panas yang melanda sejak sebulan lalu.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, akibat musim panas direkodkan panggilan kebakaran meningkat mendadak khususnya membabitkan kebakaran hutan, lalang, belukar dan kebun.

“Ini merupakan satu peningkatan yang tinggi berbanding pada beberapa tahun lepas tahun lepas. Musim kemarau di Malaysia biasanya pada bulan 6, 7, dan 8 musim kemarau tapi bulan Februari dah berlaku musim cuaca panas menyebabkan kebakaran khususnya kebakaran hutan belukar, rumput lalang, semak samun dan sebagainya”.

Beliau berkata demikian kepada media sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2013 JBPM negeri Melaka di ibu pejabatnya di Bukit Katil.

Bagaimanapun, jbpm bakal menerima 200 jentera yang membawa tangki air berkapasiti 20,000 liter air bagi melancarkan kerja-kerja pemadaman sekiranya berlaku kebakaran.

Katanya, setakat ini pihaknya hanya memiliki jentera yang mampu membawa 3,600 liter air yang boleh memadamkan kebakaran bagi tempoh tidak sampai lima minit.

Namun, penambahbaikan kemudahan tangki air berkenaan akan dapat memadamkan kebakaran bagi tempoh setengah jam sekiranya tiada bantuan sokongan lain.

Dalam pada itu, pihaknya di peringkat akhir mengusahakan penggubalan peraturan yang akan menjadi garis panduan mengambil anggota bomba bantuan yang dijangka dibuka pendaftaran pada pertengahan tahun ini.

JBPM menyasarkan pengambilan 15,000 anggota bomba bantuan menjelang tahun 2020 dan katanya, keperluan itu nanti dijangka akan meningkatkan kecekapan bomba dalam usaha mempercepatkan tugas-tugas menyelamat.

Terdahulu, beliau turut mengulas JBPM tidak mahu terlibat dalam dakwaan parti politik yang mengatakan pihaknya lewat melakukan tugas pemadaman pada insiden kebakaran membabitkan bangunan berusia 100 tahun di Jonker Walk, Melaka.

Katanya, komitmen JBPM sentiasa komited melakukan tugas menyelamat bagi memastikan tiada berlaku kemalangan jiwa dan mengelak daripada kerugian harta lebih tinggi sekiranya berlaku kebakaran.