Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengakui terdapat kelemahan dalam menguruskan bantuan dan penyelamatan mangsa banjir di Kelantan.

Menurutnya biarpun segala persiapan dalam kertas berjalan lancar, namun apabila berdepan dengan situasi sebenar seperti banjir yang melanda Kelantan kali ini, timbul pelbagai rintangan dan masalah yang tidak dapat diatasi.

Untuk itu Mustapa menjelaskan, perkara ini akan dilihat secara menyeluruh termasuk kelemahan yang ada.

Katanya dalam sesuatu kordinasi pengurusan bencana seperti ini, arahan yang tepat dan cepat yang dipimpin oleh orang berpengalaman amat penting.

“Dalam keadaan yang serius ini, kita kena ada komander yang mampu uruskan yang merentasi pelbagai jabatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat sekolah kebangsaan Banggol Guchil di sini yang menempatkan lebih 2,000 mangsa banjir dari kampung berhampiran.

Mustapha berkata demikian ketika ditanya mengenai kelemahan pengurusan bantuan bencana sehingga menimbulkan kemarahan mangsa banjir yang lewat menerima bantuan.

Katanya banjir kali ini disifatkan luar biasa dan lebih besar berbanding sebelumnya dan sudah tentu ianya akan menimbulkan sedikit kelemahan untuk mengordinasikan bantuan.

Selain itu katanya pelbagai agensi keselamatan telah mengerahkan segala aset bantuan dan logistik termasuk melalui udara namun disebabkan pelbagai kekangan menyebabkan bantuan dan operasi penyelamatan gagal dilakukan.

Dan hari ini pihak ATM berjaya menghantar bantuan melalui udara setelah mencuba sejak beberapa hari lalu termasuk tengah malam semalam menggunakan sebuah helikopter canggih dari Kuala Lumpur namun tidak berjaya kerana faktor cuaca.

Katanya beliau sendiri memasuki kawasan Kuala Krai semalam dan mengambil masa lebih 10 jam untuk sampai ke bandar Kuala Krai menggunakan bot kerana arus deras dan terpaksa bermalam di pejabat tanah dan jajahan dalam keadaan tanpa elektrik kerana tidak dapat pulang akibat arus deras.

Tambahnya, pasukan keselamatann akan meneruskan usaha menghantar bantuan di udara dan jalan darat atau air sekiranya dapat dilalui bagi membantu mangsa banjir mendapatkan bekalan makanan dan peralatan.

Selain itu pasukan perubatan juga akan di bawa masuk ke kawasan penempatan mangsa banjir bagi merawat dan mengekang sebarang penyakit berjangkit.