KUALA TERENGGANU: Terengganu mencatatkan 98 laporan jenayah komersial dalam tempoh seminggu bermula 4 Feb lepas hingga semalam membabitkan nilai kerugian sebanyak RM666,577.20.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata ia berkurang sebanyak 38 kes berbanding 136 laporan yang diterima pada minggu sebelumnya.

"Daripada 98 kes, sebanyak 21 kertas siasatan telah dibuka membabitkan 25 laporan berkaitan kejadian pengurangan wang di dalam akaun bank mangsa.

"Pecahannya, Kuala Terengganu mencatatkan 13 kes, Besut (enam), Dungun (empat) dan masing-masing satu kes di Hulu Terengganu dan Kemaman," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazli berkata mangsa telah membuat laporan polis setelah menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada institusi kewangan masing-masing memaklumkan telah berlaku transaksi pada akaun milik mereka.

"Mangsa disyaki menjadi mangsa pishing (pemancingan maklumat) atau pautan ... dalam akaun terbabit terdapat Android Package File (APK) dalam bentuk malware.

"Selain itu, terdapat juga mangsa yang telah memberikan nombor One Time Passcode (OTP) apabila diminta oleh scammer," katanya.

Mazli menasihati orang ramai agar tidak menekan sebarang pautan yang tidak dipastikan kesahihannya terutamanya yang mempunyai APK tidak sah.

"Apabila dimuat turun melalui sumber yang tidak dikenal pasti berkemungkinan mempunyai malware atau virus yang boleh menyebabkan kehilangan data dan maklumat penting di telefon bimbit.

"Juga diingatkan supaya tidak berkongsi butiran terperinci kad ATM, kod pengesahan transaksi (TAC) atau OTP dengan sesiapa sahaja walaupun atas pelbagai alasan," katanya.

Terdahulu, Mazli turut menjelaskan dakwaan tular melalui media sosial yang mendakwa insiden wang hilang dalam akaun bank membabitkan beberapa individu di Dungun, adalah disebabkan oleh perbuatan scammer atau sindiket penipuan dan tiada kaitan dengan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

-- BERNAMA