KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) mencadangkan Kerajaan Negeri Terengganu supaya mengenakan caruman perparitan kepada pemaju tanah dan hasil kutipannya dimanfaatkan bagi mengatasi masalah banjir kilat di negeri itu.

Timbalan Menteri berkenaan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata caruman yang juga dikenali sebagai sumbangan perparitan itu boleh dikenakan kepada setiap pemajuan tanah atau pelupusan secara pemilikan tanah dan mengubah syarat tanah bagi tujuan perumahan, perdagangan serta industri oleh pemaju.

"Sebenarnya banyak negeri di Semenanjung dah guna pakai kaedah ini, jadi kerajaan negeri (Terengganu) boleh pertimbangkan kerana banjir kilat banyak berpunca daripada pembangunan yang berlaku di kawasan sekitarnya," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) yang ingin tahu jalan penyelesaian bagi masalah banjir yang dikenal pasti di Taman Alamanda, Jalan Tekukur di Kuala Terengganu.

Menjawab soalan asal Ahmad Amzad berkaitan inisiatif kementerian bagi mengatasi masalah banjir di Kuala Terengganu, Akmal Nasrullah berkata sejumlah RM6.7 juta telah diperuntukkan kepada negeri itu tahun lepas untuk tujuan kerja penggalian sungai serta hal berkaitan di bawah Program Pemuliharaan Sungai bagi Mengurangkan Risiko Banjir.

Pada tahun ini pula katanya, sebanyak RM200,000 telah diperuntukkan di bawah program sama dan disalurkan kepada Parlimen Kuala Terengganu.

"JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) juga sedang melaksanakan Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir Lembangan Sungai Terengganu, Terengganu. Output utama kajian ini ialah peta hazard banjir dan peta risiko banjir bagi Lembangan Sungai Terengganu yang dijangka siap pada 2025.

"Projek Pemuliharaan Muara Sungai Ibai, Kuala Terengganu sedang dalam pelaksanaan bermula 24 Julai 2023 dan dijangka siap pada 23 Nov 2025 dengan kos kontrak sebanyak RM24 juta," katanya.

-- BERNAMA