KUALA TERENGGANU: Nasib 54 imam dan bilal yang dinafikan hak sejak tahun 2005 hingga 2018 terbela selepas kerajaan negeri melangsaikan elaun tunggakan mereka.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya memandang serius kebajikan imam dan bilal termasuk yang ditahan elaun tanpa sebab yang munasabah.

Katanya perbezaan pandangan dan parti antara faktor yang menyebabkan hak sebahagian imam dan bilal ini dinafikan sebelum ini.

"Kita bukan nak mengungkit-ungkit tetapi apabila dilihat ada imam dan bilal ini mempuyai perbezaan pandangan daripada pihak-pihak tertentu dari kerajaan sebelum ini, jadi mereka tidak diberikan elaun sebagaimana sepatutnya mereka terima sebelum ini," jelasnya.

Beliau berkata pada 11 November 2019, kerajaan negeri sudah membayar tunggakan elaun berjumlah RM2.9 juta kepada 42 imam dan bilal berkenaan.

Terbaharu pihaknya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM242,925 bagi pembayaran elaun tertunggak kepada 12 orang lagi yang terdiri daripada lima imam dan tujuh bilal.

Ahmad Samsuri berkata jumlah tunggakan elaun imam serta bilal bergantung kepada tempoh perkhidmatan dengan ada antara mereka sudah meninggal dunia.