KUALA NERUS: Sebanyak 20 kes mati lemas direkodkan di seluruh negeri ini sejak Januari hingga Disember tahun ini.

Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata, daripada jumlah itu, tiga kes berlaku dalam tempoh banjir gelombang pertama ketika musim monsun timur laut.

Menurutnya, angka itu menyaksikan peningkatan sebanyak enam kes, berbanding tahun lalu dengan 14 kematian.

"Dalam masa sebulan ini, tiga orang menjadi mangsa disebabkan kelemasan. Ini yang kita tidak hendak. Dan kita mengharapkan kepada orang ramai, terutama pengunjung-pengunjung tempat ini, ini bukan masa yang sesuai untuk kita bermandi-manda.

"Ketika membuat rondaan dari semasa ke semasa, kita telah memberi nasihat kepada pengunjung-pengunjung ini untuk menjauhkan diri daripada tepi-tepi air, kerana karakter air ini, ia akan menyedut mangsa tak mengira usia, ia akan sedut dan akan menyebabkan kelemasan berlaku," katanya.

Md Hilman berkata antara faktor penyumbang kepada kes terbabit adalah disebabkan kecuaian individu.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan tidak melakukan sebarang aktiviti air ketika musim tengkujuh bagi mengelak kejadian buruk. 

Mati Lemas | Kes di Terengganu meningkat pada 2022