Terengganu menyediakan 472 pusat pemindahan banjir yang boleh menampung seramai 75,587 mangsa pada satu-satu masa bagi menghadapi kemungkinan banjir pada musim tengkujuh hujung tahun ini.

Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kerajaan negeri juga mengenal pasti 116 pangkalan hadapan bagi penghantaran bekalan makanan dan catuan kering ke kawasan yang terputus hubungan akibat banjir.

"Di daerah Besut sahaja, kita membuka 139 pusat pemindahan banjir, diikuti Kemaman (88), Hulu Terengganu (81), Dungun (58), Kuala Terengganu (47), Setiu (35) dan Marang (24).

"Bagi pangkalan hadapan pula, kita sediakan 34 di Hulu Terengganu, Besut (20), Kemaman dan Setiu masing-masing 16 tempat, Marang (14), Dungun (12) dan Kuala Terengganu (empat)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Musim tengkujuh lazimnya bermula November.

Beliau berkata mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Terengganu yang dianggotai 35 agensi kerajaan telah membuat persediaan rapi menghadapi banjir kali ini meliputi bekalan makanan, keperluan harian, kelengkapan logistik, kenderaan serta petugas.

Ahmad Razif berkata buat julung kali juga, pada tahun ini dua unit set generator dan satu penapis air disumbangkan oleh Khazanah Nasional Berhad untuk membantu mangsa banjir mendapatkan bekalan air bersih di pusat pemindahan.

"Dua unit set generator yang mempunyai kapasiti 50 kva dan 30 kva serta penapis air itu adalah mudah alih untuk kegunaan mangsa di pusat pemindahan banjir yang terputus bekalan air bersih.

"Selain itu, JPBN juga akan menyediakan maklumat terkini seperti jumlah mangsa pemindahan, kes kemalangan jiwa, paras air di sungai utama seluruh negeri serta jalan yang ditutup melalui enam laman web yang boleh diakses orang ramai," katanya.

Penyaluran maklumat melalui laman web sebelum ini telah mendapat maklum balas baik dan positif daripada masyarakat kerana mereka boleh mengetahui perkembangan terkini dengan pantas dan mudah, katanya.