KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Kim hari ini memperoleh ganti rugi RM300,000 selepas memenangi kes saman fitnah terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos atas dakwaan menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Pesuruhjaya Kehakiman (JC), Datuk Mohd Arief Emran Arifin dalam keputusannya membenarkan tuntutan saman Kok selaku plaintif terhadap defendan iaitu Jamal, yang difailkan pada 6 April 2017.

"Defendan (Jamal) juga diarahkan membayar kos RM50,000 kepada plaintif. Jumlah itu harus dijelaskan dalam tempoh 14 hari dari sekarang," kata JC Mohd Arief.

Jamal tidak hadir pada prosiding hari ini.

Apabila ditemui pemberita selepas prosiding, peguam Datuk S.N. Nair yang mewakili Kok berkata, mahkamah memerintahkan Jamal untuk membayar jumlah keseluruhan RM300,000 yang meliputi ganti rugi am, teruk dan teladan.

Ahli Parlimen Seputeh itu yang memfailkan saman tersebut pada 6 April 2017, mendakwa Jamal telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas ketika mengadakan sidang media pada 8 Mac, 2017.

Dalam penyataan tuntutan, Kok mendakwa kenyataan berkenaan telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk dalam laman sosial Facebook milik Jamal.

Beliau mendakwa, kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan. - BERNAMA