KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang meraih Anugerah Jenama Paling Dipercayai buat kali kelima bagi kategori Pusat Pembelajaran Prasekolah Pilihan Pengguna di Malaysia oleh Reader's Digest.

Ahmad Zahid menerusi hantaran Facebook berkata pengiktirafan itu membuktikan bahawa program pembelajaran di Kemas diterima baik oleh ibu bapa di negara ini dalam usaha menerapkan kemahiran dalam pembacaan, pengajian ilmu al-Quran dan pengajian Islam bagi memelihara kesucian al-Quran.

Beliau berkata bagi tahun ini, Kemas menyasarkan 4,145 lagi kelas Tabika Pra Tahfiz Kemas yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini membabitkan 62,175 kanak-kanak.

"Sebanyak 60 peratus kanak-kanak disasarkan akan dapat menguasai 20 surah termasuk surah Juz Amma dan surah pilihan dengan qiraat, adab dan tadabbur.

"Seramai 140,000 kanak-kanak Tabika Kemas disasarkan menjadi Huffaz Cilik menjelang 2026 melalui program ini yang dilaksanakan secara rintis di 100 buah tadika terpilih pada Julai 2023 dengan sasaran 1,500 kanak-kanak," katanya.

Kemas menerima Anugerah Jenama Paling Dipercayai bagi Kategori Pusat Pembelajaran Prasekolah Pilihan Pengguna di Malaysia oleh Reader's Digest buat kali kelima itu pada 26 April lepas.

-- BERNAMA