Berikut adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh Penolong Setiausaha Agung PAS Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss:

Saya bagi pihak Parti Islam SeMalaysia (PAS) merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua yang menziarahi dan memberikan penghormatan serta mendoakan kepada Allahyarham Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Muryidul Am PAS yang meninggal dunia semalam.

Dirakamkan juga penghargaan kepada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung semasa Allahyarham di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu termasuk di dalam menguruskan jenazah Allahyarham di kediamannya Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu dengan kehadiran banyak pihak yang hadir untuk memberikan penghormatan dan Solat Jenazah di situ.

Tidak lupa juga kepada pihak keselamatan yang melicinkan urusan perjalanan dan keselamatan semasa majlis pengebumian yang berlangsung pagi Jumaat yang lalu.

Penghargaan juga kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Haji Mohammad Najib Tun Haji Abdul Razak yang turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham serta beberapa pimpinan Menteri Kabinet yang turut hadir dan menyampaikan ucapan takziah kepada Allahyarham.

Tidak lupa juga kepada Mohamed Azmin Ali, Datuk Menteri Besar Negeri Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR serta beberapa orang pimpinan PKR yang turut hadir selain ucapan takziah daripada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR serta Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR yang kini di penjara.

Selain itu, tidak lupa dihargai Lim Guan Eng, Ketua Menteri Negeri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP dan Lim Kit Siang, Penasihat DAP hadir bersama orang ramai untuk memberikan penghormatan terakhir mereka.

Bagi pihak PAS dan ahli keluarga Allahyarham sungguh terharu di atas ucapan dan doa yang dikirimkan dan tidak lupa kepada semua media massa yang melaporkan khasnya majlis pengebumian Allahyarham.

Marilah kita sama-sama mendoakan agar Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman hendaknya, Ameen! AL-FATIHAH.

DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS
Penolong Setiausaha Agung,
Parti Islam SeMalaysia.