IPOH: Seorang pesara polis marin didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas tujuh pertuduhan pilihan menerima rasuah membabitkan jumlah suapan sebanyak RM20,700, empat tahun lalu.

Hakim M. Bakri Abd Majid menjatuhkan hukuman itu ke atas Zubairi Abdul Mutalib, 60, selepas dia mengaku bersalah atas semua pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 57 bulan jika dia gagal bayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan sebagai Ketua Jentera Ronda PSC 16 di Pengkalan Polis Marin, Kampung Kampung Acheh, Sitiawan telah memperolehi wang berjumlah RM20,700 daripada seorang lelaki.

Wang itu diperoleh melalui akaun bank miliknya yang mana dia mengetahui lelaki itu mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya yang melibatkan penguatkuasaan di bawah Akta Perikanan 1985 ke atas bot bernombor pendaftaran vessel PKFA 9710.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pusat bandar Sri Manjung antara 2 Mac 2017 hingga 29 Sept 2017 daripada individu yang sama.

Hakim turut memerintahkan wang simpanan berjumlah RM18,494.75  termasuk faedah sehingga hari ini di dalam akaun Maybank Islamic Berhad adalah dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun dia dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan-pertuduhan selebihnya yang telah dipertimbangkan sebagai Take Into Consideration (TIC) oleh pihak mahkamah mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Maziyah Mansor manakala Zubairi diwakili peguam, Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.

Dalam pertuduhan sebelum ini, Zubairi pernah didakwa atas 144 pertuduhan menerima wang RM389,390 yang membabitkan lapan individu.