KUALA LUMPUR: Terimaan pinjaman kasar negara pada 2022 meningkat sebanyak RM14.164 bilion atau 6.5 peratus kepada RM231.365 bilion berbanding RM217.201 bilion pada 2021, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022.

Keseluruhan terimaan pinjaman pada 2022 diperoleh melalui terbitan instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia sebanyak RM86.635 bilion, Terbitan Pelaburan Kerajaan (RM85.281 bilion) dan Bil Perbendaharaan (RM59.449 bilion).

Menurut laporan itu yang dikeluarkan hari ini, premium bersih daripada terbitan instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia berjumlah RM0.135 bilion, manakala sebanyak RM0.281 bilion merupakan premium bagi terbitan instrumen Terbitan Pelaburan Kerajaan.

Jumlah premium bersih adalah RM0.416 bilion berbanding 2021 berjumlah RM3.120 bilion, dan keseluruhan amaun premium bersih telah dilaraskan kepada Akaun Penyelesaian Premium/Diskaun Sekuriti Kerajaan.

Selain itu, laporan itu mendapati sebanyak RM131.528 bilion atau 56.8 peratus daripada terimaan pinjaman kasar digunakan untuk melunaskan prinsipal pinjaman matang iaitu meningkat RM17.764 bilion atau 15.6 peratus berbanding RM113.764 bilion pada 2021.

Terimaan pinjaman bersih bagi 2022 pula berkurangan RM3.601 bilion atau 3.5 peratus kepada RM99.837 bilion berbanding RM103.438 bilion pada 2021.

"Sebanyak RM68.541 bilion telah dipindahkan kepada Kumpulan Wang Pembangunan bagi membiayai perbelanjaan pembangunan, manakala RM30.880 bilion dipindahkan kepada Kumpulan Wang COVID-19 bagi membiayai perbelanjaan pakej bantuan COVID-19.

"Daripada RM68.541 bilion yang dipindahkan kepada Kumpulan Wang Pembangunan, sebanyak RM17.086 bilion atau 24.9 peratus telah digunakan untuk penyaluran geran komitmen jaminan, iaitu meningkat sebanyak RM7.439 bilion berbanding RM9.647 bilion pada 2021," kata laporan itu.

Menurutnya sebanyak RM2.493 bilion atau 3.6 peratus digunakan untuk pelunasan komitmen Liabiliti Inisiatif Pembiayaan Swasta iaitu berkurangan RM0.472 bilion berbanding RM2.965 bilion pada 2021.

-- BERNAMA