[TERKINI] Bung Moktar bebas kes rasuah RM2.8 juta
![[TERKINI] Bung Moktar bebas kes rasuah RM2.8 juta [TERKINI] Bung Moktar bebas kes rasuah RM2.8 juta](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-12/51764894954_BungMoktarRadinm.jpg)
Allahyarham Bung Moktar dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pada Jumaat atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, pada Jumaat atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Hakim Rosli Ahmad memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa mereka tidak berhasrat untuk meneruskan pendakwaan terhadap Bung Moktar.
Bagaimanapun, pendakwaan terhadap balunya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad diteruskan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasinya untuk menggugurkan pertuduhan bersubahat yang dihadapi.
Mahkamah menetapkan perbicaraan terhadap Zizie Izette diteruskan pada 5, 6 dan 12 Mac ini.
Bekas Ketua UMNO Sabah itu disahkan telah meninggal dunia pada jam 1.46 pagi, 5 Disember 2025 lalu.
Pemergian ahli politik berusia 66 tahun itu disahkan oleh anaknya, Naim Kurniawan, menerusi hantaran di Facebook.
Bung Moktar sebelum itu menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah selepas mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan teruk pada paru-paru.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa atas dua pertuduhan memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai masing-masing RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra bagi pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau didakwa menerima suapan daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, melalui isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad dan akaun Public Islamic Treasures Growth Fund atas nama isterinya.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini, antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015, dan pada jam 12.16 tengah hari, 19 Jun tahun sama.
Bagi pertuduhan ketiga, Bung Moktar didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, atas nama Zizie Izette, pada lokasi, tarikh dan masa yang sama, jam 12.28 tengah hari, 19 Jun 2015.
Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama di lokasi, tarikh dan masa yang sama. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


