MALAYSIA
[TERKINI] Konflik Iran-Israel: Rakyat Malaysia diarah keluar - Mohamad Hasan
![[TERKINI] Konflik Iran-Israel: Rakyat Malaysia diarah keluar - Mohamad Hasan [TERKINI] Konflik Iran-Israel: Rakyat Malaysia diarah keluar - Mohamad Hasan](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-06/41750162551_MohamadHasan.jpg)
Mohamad Hasan berkata pihak Wisma Putra telah menguruskan pengangkutan darat untuk semua rakyat Malaysia menuju ke Ashgabat, Turkmenistan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar telah mengarahkan semua rakyat Malaysia yang berada di Iran untuk meninggalkan negara itu.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pihak Wisma Putra telah menguruskan pengangkutan darat untuk semua rakyat Malaysia menuju ke Ashgabat, Turkmenistan.
"Lantaran tiada sebarang penerbangan dibenarkan melalui Iran pada ketika ini, kita telah siapkan kenderaan untuk mereka melalui jalan darat pergi ke tempat paling dekat.
"Perjalanan sejauh 950km dianggarkan 13 jam kerana perjalanan ke sana perlu merentasi banjaran dan sebagainya," katanya menerusi satu perkongsian video kepada Astro AWANI.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata semua kelulusan daripada pihak Turkmenistan seperti visa telah diluluskan.
.
[TERKINI] Rakyat Malaysia di Iran diarah keluar – Menteri Luar
Kesemua rakyat Malaysia yang berpindah akan tinggal selama dua hari di Ashgabat sebelum di bawa pulang ke tanah air.
Wisma Putra sebelum ini memaklumkan jumlah rakyat Malaysia di Iran adalah kecil dan terdiri daripada kakitangan kedutaan, pelajar dan pelancong, dengan semua persiapan termasuk visa telah dimuktamadkan.
Kementerian itu juga sedang bekerjasama rapat dengan Perwakilan Malaysia yang terlibat bagi memastikan perjalanan pulang rakyat Malaysia ke tanah air dilaksanakan dengan segera dan selamat.
Terdahulu, Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata Malaysia akan memindahkan rakyatnya dari Iran pada Jumaat berikutan peningkatan risiko keselamatan susulan konflik yang semakin memuncak antara Israel dan Iran.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami