DUNIA
[TERKINI] Pesawat Air India dalam perjalanan ke London terhempas
![[TERKINI] Pesawat Air India dalam perjalanan ke London terhempas [TERKINI] Pesawat Air India dalam perjalanan ke London terhempas](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-06/41749720637_airplane.jpg)
Memetik laporan NDTV, pesawat berlepas sekitar 1.38 tengah hari. - Sumber foto portal SCMP
SEBUAH pesawat Air India terhempas sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad, India lapor stesen TV tempatan.
Laporan awal bagaimanapun, menyebut saksi melihat kepulan asap tebal menyelubungi lokasi tragedi, lapor Reuters.
Pesawat Boeing 787 Dreamliner kod AI171 berkenaan membawa 230 penumpang dan 12 kru dalam perjalanan dari Ahmedabad ke Lapangan Terbang Gatwick, di London, United Kingdom.
Kejadian dipercayai berlaku sejurus selepas pesawat berlepas dari lapangan terbang Ahmedabad. Memetik laporan NDTV, pesawat berlepas sekitar 1.38 tengah hari, Khamis.
Portal India Today yang memetik sumber, melaporkan bekas Ketua Menteri Gujarat Vijay Rupani dipercayai berada dalam pesawat itu.
5 petang: Menteri Pengangkutan Udara India, Ram Mohan Naidu dalam satu kenyataan berkata, India terkejut dan bersedih dengan tragedi itu.
"Kami berada di tahap berjaga-jaga ketika ini. Saya secara peribadi sedang memantau situasi ini dan telah mengarahkan kesemua agensi penerbangan dan kecemasan untuk memberi kerjasama terbaik," kata Ram Mohan.
"Pasukan mencari dan menyelamat kini berada di lokasi, dan sokongan perubatan juga sedang dalam perjalanan ke sana. Doa dan ingatan ikhlas dari saya bersama-sama keluarga mangsa," tambahnya.
Lapangan Terbang Gatwick dalam satu kenyataan mengesahkan pesawat AI171 dijadual untuk mendarat di Gatwick pada jam 6.25 petang (waktu tempatan).
6 petang: Pengerusi Kumpulan Tata N Chandrasekaran turut mengesahkan tragedi itu dan berkata, fokus utama syarikat penerbangan itu adalah memberi sokongan kepada kesemua mangsa dan keluarga mereka.
"Kami sedang melakukan yang terbaik dan tidak akan teragak-agak untuk memberi sokongan kepada mangsa dan keluarga mereka. Syarikat kami akan berkongsi kesemua perkembangan dan buat masa ini, pusat kecemasan telah disediakan untuk keluarga mangsa mendapatkan maklumat terkini," kata Chandrasekaran.
Stesen televisyen NDTV melaporkan Lapangan Terbang Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel, Ahmedabad telah ditutup buat sementara waktu ekoran tragedi ini.
8 malam: Komisioner Polis, G.S. Malik mengesahkan semua penumpang telah terkorban dalam nahas berkenaan. Pesawat berkenaan membawa 217 penumpang dewasa, 11 kanak-kanak dan dua bayi. Sejumlah 169 penumpang adalah warga India, 53 warga Britain, tujuh berbangsa Portugis dan seorang warga Kanada.
Malik turut dilaporkan berkata, kemungkinan besar terdapat beberapa individu dari kawasan nahas yang maut.
Namun, jumlah yang terkorban sedang dikenal pasti, tambahnya.
8.20 malam: Saluran CNN melaporkan pesawat berkenaan terhempas di atas tempat makan penginapan Kolej Perubatan B.J. dan mengorbankan beberapa penuntut perubatan di situ.
10.30 malam: Ajaib! Seorang penumpang Air India, Ramesh Vishwaskumar Bucharvada, dilaporkan satu-satunya individu yang terselamat dalam nahas udara di Ahmedabad, India pada Khamis. Warga Britain berusia 38 tahun itu dilaporkan duduk di kerusi bernombor 11A sempat melompat keluar dari pesawat AI171 ketika nahas berlaku. Sebuah video tular menunjukkan Ramesh, yang mengalami kecederaan, berjalan menuju ke lokasi nahas.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami