[TERKINI] PRN Sabah: Banyak kilang tutup, perkhidmatan teksi di Sipitang kian sepi
![[TERKINI] PRN Sabah: Banyak kilang tutup, perkhidmatan teksi di Sipitang kian sepi [TERKINI] PRN Sabah: Banyak kilang tutup, perkhidmatan teksi di Sipitang kian sepi](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/61763464396_TeksiSipitang.jpg)
Tidak dinafikan, persaingan dengan perkhidmatan e-hailing turut menjadi faktor, namun kesannya lebih ketara selepas penutupan SFI beberapa tahun lalu. - Gambar Astro AWANI
SIPITANG: Sektor perkilangan di Sipitang yang semakin perlahan sejak penutupan beberapa industri besar terus memberi kesan kepada penduduk.
Ringkasan AI
- Impak penutupan beberapa industri besar di Sipitang terasa terutama kepada pemandu teksi yang mengalami penurunan pendapatan serta kurangnya penumpang setelah penutupan Sabah Forest Industries (SFI).
- Pemandu teksi diharapkan agar wakil rakyat yang akan dipilih dapat membantu mengembalikan kegemilangan Sipitang sebagai pekan industri dengan membangunkan lebih banyak kilang untuk menangani masalah pengangguran serta kesempatan pekerjaan untuk generasi muda.
- Calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin berazam untuk memastikan lebih banyak warga Sipitang terlibat dalam industri yang berkembang di kawasan tersebut, terutamanya dalam sektor minyak dan gas, bagi meningkatkan ekonomi tempatan.

Ajis Baduh
“Kalau kami sekarang kereta sewa memang tiada harapan sudahlah, selama kilang SFI tutup, buat masa ini kita bertahan saja, apa yang ada kita syukur, Tuhan bagi begini, maka beginilah. Selalu dulu hampir setiap hari ke Kota Kinabalu sebab rancak di sini, namun sejak tiga tahun ini, memang betul-betul tiada penumpang,” kata Ajis Baduh yang merupakan pemandu teksi sejak 1981.
Pemandu teksi, Cire Naco pula berharap, bakal wakil rakyat nanti dapat mengembalikan zaman kegemilangan Sipitang seperti sebelum ini yang terkenal sebagai pekan industri.
“Dulu banyak dari kilang, ada kilang papan kayu, SFI, semua jenis kilang ada tapi sekarang semua tiada. Kamu tengoklah jalan raya pun kosong, penumpang kosong… tiada, memang tiada. Sehari mana ada jalan, satu dua minggu sudah saya tidak bergerak, memang kuranglah.
“Tidak tahulah masa akan datang macam mana. Harap binalah lebih banyak kilang supaya ada perindustrian yang bagus untuk kami di Sipitang, untuk kami mudah cari makan. Sekarang banyak pengangguran, banyak anak muda tiada kerja, tiap-tiap tahun habis sekolah tiada kerja… minta di kedai serbaneka pun penuh dengan syarat itu ini, saudara sendiri baru diberi kerja, susah juga itu,” ujarnya.

Cire Naco
Walaupun daerah berkenaan sudah mempunyai asas industri yang kukuh seperti Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), limpahan ekonominya masih belum dinikmati secara menyeluruh oleh masyarakat setempat.
Rentetan itu, beberapa calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin ketika ditemui bertekad untuk mengusahakan agar lebih ramai pembabitan warga Sipitang dalam industri yang menjana pelaburan besar, jika mereka diberi mandat.

Yusri Pungut
“Kita ada industri minyak dan gas, berbilion ringgit nilanya. Kita mahu pastikan setiap industri yang tumbuh di Sipitang ini, pastikan seramai mungkin penglibatan anak jati Sipitang. Kita tidak mahu seperti sebelum ini, apabila ada kilang besar tapi hanya beberapa orang sahaja warga Sipitang. Jadi kali ini, pastikan penglibatan anak jati Sipitang dan daerah berdekatan dibabitkan,” kata calon Parti Warisan, Yusri Pungut.
Perkara sama disuarakan oleh calon Pakatan Harapan bagi DUN Sindumin, Datuk Yamani Hafez Musa yang menyatakan, usaha memartabat golongan belia di daerah itu menjadi keutamaan dalam manifesto mereka.

Datuk Yamani Hafez Musa
“Ya, ditambah baik terutama industri di Sipitang ini agar memberi manfaat kepada anak-anak muda di Sipitang. Dalam kita punya manifesto, kita sudah ada langkah untuk diambil supaya belia di Sipitang terutamanya dapat peluang kerja dalam industri minyak dan gas khususnya,” ujarnya.
Calon Perikatan Nasional bagi Sindumin, Dayang Nor Syafiqah Abdul Hamid pula tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang, namun bertekad menyelesaikan isu setempat jika diberi mandat.
“Sebagai satu kepimpinan muda dan baru, saya tidak menjanjikan bulan dan bintang saat dan ketika ini. Apa yang penting ialah fokus dan gerak kerja saya sepanjang kempen dan juga bila kita ada rezeki memihak kepada kita, insya-Allah barulah saya kembali ke kampung ini dan ceritakan tentang visi dan misi kita bersama orang kampung,” katanya.

Dayang Nor Syafiqah Abdul Hamid
Kerusi DUN Sindumin menyaksikan saingan 10 penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang akan berlangsung pada 29 November ini.
Dapatkan berita terkini dan info interaktif PRN Sabah 2025 di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

