MALAYSIA
TERKINI: Semua 23 aktivis Malaysia ditahan Israel dibebaskan - PM Anwar

Perdana Menteri berkata, mereka akan dibawa ke Lapangan Terbang Ramon di Israel pada petang ini, sebelum menuju ke Istanbul, Turkiye. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kesemua 23 sukarelawan rakyat Malaysia yang ditahan rejim Zionis ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, dibebaskan.
Ringkasan AI
- Kesemua 23 sukarelawan Malaysia dibebaskan selepas ditahan Israel ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla; mereka kini menuju ke Lapangan Terbang Ramon sebelum diterbangkan ke Istanbul dengan pesawat khas Turkiye.
- Pembebasan berlaku selepas tandatangan arahan pengusiran, dan aktivis dijangka pulang ke tanah air esok malam atau lusa selepas transit di Istanbul.
- Pemeriksaan kesihatan dan pemulihan trauma akan dilakukan di Istanbul selama 11.5 hari sebelum pulang, susulan tekanan dialami akibat tindakan keras rejim Israel.
“Alhamdulillah, 23 (rakyat Malaysia) sekarang menuju ke Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel (dan) dengan pesawat khas dari Turkiye mengangkat mereka ke Istanbul,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas pembebasan aktivis Global Sumud Nusantara pada Sabtu.
Mengesahkan perkara itu, Perdana Menteri berkata, pembebasan itu berlaku selepas semua 23 rakyat Malaysia yang ditahan menandatangani arahan pengusiran dari Israel.
Kata beliau, semua aktivis Malaysia berkenaan dijangka mula pulang ke tanah air pada esok malam atau lusa.
Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan, kesemua rakyat Malaysia akan ditempatkan sementara di Istanbul sekurang-kurangnya selama sehari.
Jelasnya, ini bagi membolehkan mereka menjalani pemeriksaan kesihatan dan pemulihan akibat trauma serta tekanan daripada tindakan keras rejim Israel.
“Selepas rundingan saya dengan Ketua Risikan Malaysia di Ankara serta penyelarasan bersama Duta Besar dan Kedutaan Malaysia di sana, kami memutuskan lebih baik mereka menginap di Istanbul selama satu hingga satu setengah hari untuk pemeriksaan kesihatan dan pemulihan akibat trauma serta tekanan daripada tindakan keras rejim Israel,” ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami